BIMP-EAGA sambut baik Wawasan 2025

BIMP-EAGA sambut baik Wawasan 2025

KOTA KINABALU, 10 Dis – Menteri-menteri dari Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) menyambut baik penggubalan ‘Wawasan 2025 BIMP-EAGA’ bagi membangunkan sub-rantau yang berdaya tahan, inklusif, mapan dan berdaya saing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ia akan menggantikan Rangka Tindakan Pelaksanaan 2012-2016 yang akan menyokong dan melengkapi pelan hala tuju ‘ASEAN 2025: Bersama-sama Melangkah Ke Depan’.

Beliau berkata menteri-menteri juga menerima rangka kerja panduan penggubalan Wawasan 2025 BIMP-EAGA dan menggesa pihak berkepentingan dalam BIMP-EAGA, terutama sektor swasta dan kerajaan tempatan, agar merebut peluang itu.

“(Mereka) boleh memberi pandangan, input dan juga projek-projek yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di sub-rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA Ke-19 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan ll (kedua) Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Setiausaha Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Filipina, Luwalhati R. Antonino; Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Dr Rizal Affandi Lukman; dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Dr. AKP Mochtan.

Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BIMP-EAGA,  semalam. – Bernama
Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BIMP-EAGA, semalam. – Bernama

Datuk Abdul Wahid berkata draf Wawasan 2025 BIMP-EAGA itu dijangka disiapkan menjelang Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-12 di Filipina.

Mengulas perkembangan berkaitan, Datuk Abdul Wahid berkata mesyuarat yang mengakui akan perlunya penambahbaikan kesalinghubungan bagi memudahkan pergerakan barangan dan penduduk EAGA serta integrasi ke dalam ASEAN, turut mengalu-alukan keputusan menteri-menteri pengangkutan memeterai referendum untuk meminda memorandum persefahaman mengenai Pengembangan Hubungan Udara. – Bernama