Bina akhlak, peribadi cemerlang

Bina akhlak, peribadi cemerlang

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pelajar cemerlang perlu sebati dengan akhlak dan keperibadian yang baik kerana ia menjadi pelengkap kepada kejayaan mereka, lebih-lebih lagi agama Islam turut menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Perkara itu ditekankan oleh Pengetua Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), Awang Zamain bin Abdul semasa berucap di Majlis Forum Pelajar ke-10 anjuran bersama Maktab SOAS dan Kelas 64 Alumni SOAS bertajuk ‘Pelajar Cemerlang Menurut Perspektif Islam’ yang berlangsung di Auditorium Maktab SOAS hari ini.

Menurutnya lagi, topik forum ini sangat menarik dan mempunyai signifikannya tersendiri terhadap golongan pelajar, kerana pelajar cemerlang bukan sahaja diukur dalam pencapaian akademik, malah disertai dengan akhlak terpuji.

“Ini kerana akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuk nilai moral, etika dan adab. Apa yang pasti, pelajarlah yang akan menjadi pemangkin mencapai Wawasan Negara 2035,” tambahnya.

Majlis forum pelajar yang berlangsung di Auditorium Maktab SOAS, kelmarin.
Majlis forum pelajar yang berlangsung di Auditorium Maktab SOAS, kelmarin.
Antara guru-guru dan para pelajar jemputan yang hadir di Majlis Forum Pelajar ke-10 itu.
Antara guru-guru dan para pelajar jemputan yang hadir di Majlis Forum Pelajar ke-10 itu.

Menurutnya lagi, forum itu akan mendengar pendapat dan saranan para pelajar yang mewakili Maktab SOAS, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), SM Rimba (SMR) dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) bagi ciri-ciri pelajar cemerlang menurut perspektif Islam.

Majlis forum yang dipengerusikan oleh Dayang Nurasusanti binti Haji Abdul Latif itu menampilkan para pembentang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Maktab SOAS iaitu Awang Abdul Mu’min bin Haji Abdul Karim dan Awang Mohd Shafee bin Yunus; Awang Asmawee bin Alamshah dan Awang Mohamad Syahmi Haziq bin Yaziz (SMPDSM); Dayang Zuraini binti Zainal Abidin dan Dayang Zahidah binti Borhanuddin (SMR); dan Dayang Siti Noor Rafidah binti Sofry dan Dayang Ezzatun Nabihah binti Muhd Karman @Nak Soleha (SUAMPRIPAD).

ARTIKEL YANG SAMA