Bina benteng elak hakisan

Bina benteng elak hakisan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 11 Feb – Berikutan kejadian hakisan tanah akibat dihempas ombak secara berterusan dekat rumah seorang penduduk di Kampung Danau, di sini, beberapa buah agensi kini bergotong-royong memasang benteng guni pasir di kawasan berkenaan.

Agensi-agensi yang terlibat termasuk Jabatan Daerah Tutong, Anggota Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tutong, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau dan Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda.

Turut hadir meninjau kawasan hakisan dekat rumah Haji Yunos bin Haji Yacob itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku Penghulu Mukim Telisai.

Haji Adnan ketika ditemu bual Media Permata pagi tadi menjelaskan, Jabatan Daerah Tutong telah pun membuat persepakatan bersama agensi-agensi yang terlibat

Kerja-kerja membina benteng dijalankan.
Kerja-kerja membina benteng dijalankan.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong meninjau kawasan hakisan dan acara bergontong-royong.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong meninjau kawasan hakisan dan acara bergontong-royong.

seperti Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Kerja Raya (JKR) Tutong bersama Penghulu Mukim Telisai dan ahli-ahli MPK Telisai semasa menjalankan lawatan pertama mereka di sana.

Menurutnya, melalui perjumpaan tersebut, mereka membincangkan tindakan-tindakan dan membuat rancangan-rancangan yang perlu bagi menangani hakisan ini daripada berterusan berlaku.

“Pada peringkat awal, Jabatan Daerah Tutong telah pun berunding bersama agensi-agensi yang terlibat di Daerah Tutong seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Bomba dan Penyelamat, dan pihak NDMC dan Bahagian Jabatan Saluran dan Pembetungan, JKR untuk merancang membuat tindakan tersebut.”

Hasil mesyuarat itu, katanya, mereka telah merancang tiga fasa untuk dihadapkan kepada pihak-pihak berkenaan, salah satu tindakan segera ialah memasukkan pasir dalam beg tertentu untuk dibuat benteng bagi mengurangkan impak deras ombak daripada terus menghakis tanah yang boleh menjejaskan keselamatan dan merosakkan harta benda.

Tinjauan di kawasan berkenaan menyaksikan anggota dari pelbagai agensi seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kerja Raya, bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Telisai bergotong-royong, dan bekerjasama untuk memasukkan pasir ke dalam guni dan seterusnya dipasang sebagai benteng penahan ombak.

Yang Berhormat Haji Ramli pula menjelaskan, sebelum ini penghadang telah pun dibuat bagi mengelakkan hakisan berlaku di Tanjung Danau dan Sekolah Danau, tetapi setelah dibuat penghadang sehingga sempadan tanah Danau, hakisan tersebut berlaku secara berterusan dan perkara ini amat dikhuatiri bagi penduduk yang tinggal di persisiran Pantai Danau.

Selaku Penghulu Mukim Telisai, beliau merasa bersimpati atas apa yang berlaku dan menasihati penduduk Kampung Telisai yang tinggal di kawasan pantai supaya berwaspada dan berhati-hati dan berharap Pihak Jabatan Daerah Tutong dan agensi-agensi yang terlibat untuk membuat bantuan segera dengan membuat tindakan yang sepatutnya.

Semasa gotong-royong dijalankan, Haji Yunos melahirkan rasa berbesar hati kerana ramai orang secara ikhlas memberikan bantuan dalam sama-sama mendirikan benteng berdekatan di rumahnya.

Menurutnya, beliau mula mendirikan benteng-benteng tersebut pada 25 Januari lalu namun keadaan hakisan adalah amat kritikal sehingga beliau tidak sanggup membinanya dengan mengharapkan pekerjanya dan memakan belanja membeli 25 rol Fibre Clothing yang mana satu roll berharga $4,800.

Sebelum ini, beliau mengalami kerugian lebih $100,000 apabila stor yang dibuat berhampiran rumahnya roboh dan barang-barang turut hanyut, di samping mempunyai keluasan tanah seluas 150 meter sebelum terhakis.

Beliau yang sudah pun mengetahui jadual berlakunya ombak besar itu, akan sentiasa berhati-hati bersama ahli keluarga dan membuat langkah-langkah keselamatan iaitu menyediakan pekerja-pekerja mereka membuat benteng yang bersifat sementara di persisiran bagi menyelamatkan rumahnya.

Beliau melahirkan harapan agar pihak berkuasa akan dapat membantu mereka segera untuk membina tembok penghadang ombak demi keselamatan mereka, penduduk Kampung Danau dan persekitarannya terutama yang tinggal di persisiran Pantai Danau.

ARTIKEL YANG SAMA