Bina kamus istilah betul, tepat

Bina kamus istilah betul, tepat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Para peserta Bengkel Pembentukan Kamus Istilah telah didedahkan kepada pelbagai ilmu peristilahan yang mencakupi asas pembentukan istilah; perbezaan glosari dan kamus istilah; kamus umum dan kamus istilah; serta tatacara dan sistem penyusunan kamus istilah.

Respons yang diterima daripada peserta bengkel itu amat memberangsangkan yang mana ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam bengkel itu, diharap dapat membantu Dewan Bahasa dan Pustaka dalam merencana penyusunan kamus istilah.

Perkara itu dinyatakan oleh Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putera Malaysia, Serdang, Dr. Hasnah binti Mohamad selaku fasilitator Bengkel Pembentukan Kamus Istilah (BPKI) siri ke-II, pada majlis penutup bengkel yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

“Sesungguhnya aktiviti penyusunan kamus istilah ini, amat penting dalam usaha untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Awang Suip menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel tiga hari itu.
Awang Suip menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel tiga hari itu.
Dr. Hasnah menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis penutup dan penyampaian sijil bengkel berkenaan.
Dr. Hasnah menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis penutup dan penyampaian sijil bengkel berkenaan.

“Di samping itu, usaha pendokumentasian fasa kata teknikal juga sangat penting demi memartabatkan bahasa yang kita cintai ini,” ujarnya.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel itu ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Bengkel selama tiga hari yang berlangsung dari 23 Mei hingga 25 Mei itu, bertujuan untuk membina kamus istilah yang bertepatan dengan konseptual pengistilahan di samping memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai tatacara penggubalan istilah kamus yang betul dan tepat.

ARTIKEL YANG SAMA