Bina masjid di hujung jari

Bina masjid di hujung jari

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Dalam usaha memudahkan orang ramai menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melancarkan perkhidmatan SMS bagi membuat sumbangan yang bermula hari ini hingga 5 Disember 2015.

Perkhidmatan berkenaan yang dikendalikan dengan kerjasama Syarikat Kumpulan DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd, telah dilancarkan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Pelancarannya telah dimulakan dengan tetamu kehormat membuat sumbangan dana SMS ke DST sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Seterusnya tetamu kehormat membuat sumbangan dana SMS ke Progresif Cellular Sdn Bhd sambil disaksikan oleh wakil dari Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd, Dayang Normah binti Ahmad.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika membuat sumbangan dana SMS tersebut.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika membuat sumbangan dana SMS tersebut.

Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan ucapan di awal majlis itu menyatakan bahawa, penubuhan tabung berkenaan adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan Baginda ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan tahun ini.

Melalui perkhidmatan ini, diharap orang ramai akan dapat sama-sama mengambil peluang untuk membuat sumbangan seangkat-angkat hati ke tabung berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan dengan menaip MASJID diikuti 1, 5, 10, 15 atau 20 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd.

Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai dan beberapa mekanisme kutipan sedang dijalankan pada masa ini seperti meletakkan tabung dana di masjid-masjid, secara dalam talian dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA