Bina masjid guna wang tabung

Bina masjid guna wang tabung

Surau Kampung Tanjung Bunut telah siap dibina dan dirasmikan pembukaannya pada tahun 1967. Sesudah 49 tahun berlalu, surau tersebut masih digunakan hingga sekarang dalam keadaannya yang asal.

Pada kira-kira  43 tahun yang lalu kerja-kerja untuk membina sebuah masjid di Kampung Tanjung Bunut hampir bermula tapi serta merta dibatalkan dan kawasan pembinaan dikosongkan hinggalah sekarang dan projek pembinaan masjid baru itu senyap tanpa sebarang berita.

Kampung Tanjung Bunut semakin sehari semakin membangun dengan rumah-rumah kediaman terus bertambah. Bukan itu sahaja,  beberapa buah bangunan komersial telah siap dibina dan digunakan sebagai tempat perniagaan dan ruang-ruang pejabat.

Penduduk makin bertambah dan sehinggakan surau hampir digantikan dengan masjid. Keadaan untuk solat Jumaat dewasa ini tidak selesa kerana surau yang ada tidak lagi dapat menampung jumlah jemaah.

Dari itu, selaku seorang Muslim di Kampung Tanjung Bunut, saya ingin memohon penjelasan Kementerian Hal Ehwal Ugama sama ada rancangan untuk membina masjid di Kampung Tanjung Bunut ini masih ada dalam rancangan dan jika ada bilakah ianya akan dimulakan.

Saya percaya projek pembinaan Masjid Kampung Tanjung Bunut ini mungkin tidak akan terlaksana kerana bagi tahun 2016, peruntukan-peruntukan kerajaan adalah dihadkan.

Jika demikian, apa kiranya wang daripada Tabung Pembinaan Masjid yang diperkenalkan pada tahun 2015 itu digunakan untuk membina Masjid Kampung Tanjung Bunut. – Muslim Kg Tg Bunut

ARTIKEL YANG SAMA