Bina modal insan dalam kalangan belia

Bina modal insan dalam kalangan belia

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Bagi mendokong pembangunan ekonomi yang mapan dalam jangka masa panjang, tumpuan turut diberikan kepada membina kapasiti dan modal insan terutamanya dalam kalangan belia-belia di negara ini.

Semasa menjelaskan fokus ketiga Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2016/2017, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata pembangunan kapasiti dan modal insan ini perlulah dilaksanakan secara holistik yang merangkumi perolehan pengetahuan dan kemahiran, termasuk keupayaan keusahawanan; serta memiliki sikap, nilai dan etika positif dan progresif bersesuaian dan fokus kepada ‘outcome’.

Selaras dengan keutamaan tersebut, katanya, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan tahap kualiti pendidikan dan latihan bagi belia-belia di negara ini. Yang Berhormat Pehin berkata, pendidikan cemerlang mampu memberi peluang kepada para belia untuk meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang secara aktif dan positif kepada pembangunan negara selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035 yang mana ia merupakan salah satu strategi utama kerajaan dalam usaha pembasmian kemiskinan.

Antara keutamaan dan sasaran di bawah kategori ini ialah usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, memantapkan kepimpinan sekolah dengan melancarkan ‘Brunei Darussalam School Leadership Standard (BSLS)’ pada bulan November 2015 lepas, memupuk pemikiran keusahawanan daripada peringkat awal dan menyediakan Rangka Kerja Kompetensi Industri (Industry Competency Framework, ICF).Menurut beliau, untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar dalam berbagai bidang dan bagi membina kemahiran dan keupayaan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja tempatan, peruntukan-peruntukan akan terus disediakan.

Antaranya termasuk peruntukan biasiswa sebanyak $35.2 juta, dan $31.7 juta untuk Elaun Penuntut; peruntukan bagi mendatangkan tenaga pakar dan pengajar mahir untuk literasi dan numerasi sejumlah $15 juta; peruntukan bagi perkhidmatan pendidikan sebanyak $54.3 juta; pembelian peralatan-peralatan pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan sejumlah $9.3 juta; Kementerian Hal Ehwal Ugama disediakan sebanyak $3.5 juta bagi biasiswa; $1.0 juta bagi pembelian peralatan; dan di bawah RKN, peruntukan sejumlah $47 juta dengan Harga Rancangan $572.6 juta disediakan bagi sektor pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA