Bina Negara Zikir bersama warga emas

Bina Negara Zikir bersama warga emas

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 18 Okt – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas bagi Daerah Temburong yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat , Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Hj Mahmud, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemaah masjid yang terdiri daripada warga emas di daerah ini.

Majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum sembahyang Sunat Hajat berjemaah, bacaan Surah Yasin dan bertahlil beramai-ramai. Kemudian, majlis diisikan dengan bacaan doa-doa kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh imam masjid tersebut.

Drs Haji Ismuhadi ketika menyampaikan ceramahnya.
Drs Haji Ismuhadi ketika menyampaikan ceramahnya.

Acara turut diselitkan dengan ceramah bertajuk ‘Peranan Warga Emas Dalam Penantian Akhir’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Drs Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Majlis ini antara lain bertujuan untuk mendukung hasrat negara dalam membina sebuah Negara Zikir dengan melibatkan golongan warga emas.

Setelah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1991, Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas diraikan setiap 1 Oktober di seluruh dunia.

Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Penentangan Terhadap Diskriminasi Umur (Take a Stand Against Ageism)’.

ARTIKEL YANG SAMA