Bina pelindung di bahagian pam diesel

Bina pelindung di bahagian pam diesel

Stesen Minyak Sengkurong berdekatan dengan Sekolah Rendah Sengkurong telah beroperasi lebih 15 tahun dan merupakan antara stesen minyak yang laris dan sibuk lebih-lebih lagi terletak di kawasan strategik dan tepi jalan raya yang sibuk.

Bahagian pam minyak Ron 97 dan 95 mempunyai atap dan pekerja-pekerja merasa selesa dan terlindung daripada hujan dan panas dan ia sesuai bagi pembelian minyak semasa hari hujan walaupun turun lebat.

Pelanggan juga tidak bimbang air hujan akan masuk ke tangki minyak kereta semasa mengisi minyak.

Namun apa yang menyedihkan ialah pam jualan minyak diesel terletak di bahagian luar tanpa mempunyai sebarang perlindungan atau atap. Ini bukan sahaja menyusahkan atendan pam yang terpaksa berpayung atau bertopi semasa hujan dan panas.

Manakala ketika musim hujan, dikhuatiri air akan memasuki ke dalam tangki semasa pengisian minyak dilakukan.

Saya pernah memaklumkan kepada penghulu mukim dan ketua Kampung serta pihak Brunei Shell Marketing (BSM) berkenaan perkara itu secara persuratan dan percakapan lebih tiga tahun yang lalu tapi tidak ada tindakan yang diambil.

Diharap pihak yang berkenaan akan membuat lawatan segera dan mengambil inisiatif membina atap atau apa jua perlindungan untuk keselesaan pekerja dan juga pelanggan tatkala mengisi minyak diesel. Orang Kg. Sengkurong, Jalan Selayun

ARTIKEL YANG SAMA