Bina persefahaman melalui IVLP

Bina persefahaman melalui IVLP

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataannya kelmarin mengumumkan Awang Abhar Munawar bin Pehin Dato Dr. Haji Ahmad telah dipilih untuk menyertai Program International Visitor Leadership (ILVP) 2016.

Awang Abhar Munawar yang disertai para pegawai kerajaan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat dari negara-negara Asia-Pasifik, akan mengunjungi AS bermula 18 April sehingga 6 Mei 2016 untuk menyertai projek serantau yang menumpukan kepada lautan dunia dan ‘Undang-undang Laut.

Projek ini akan meneroka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut Ketiga (UNCLOS III) dan kesesuaiannya di Lautan Pasifik dan rantau Asia Tenggara.

Para peserta akan menganalisis sejarah yang membentuk isu-isu semasa maritim di rantau ini dan mengkaji penyelesaian konflik dan cara timbang tara untuk mencapai penyelesaian antarabangsa. Program itu akan diadakan di empat buah bandar raya (Washington D.C., New York, Seattle dan Honolulu).

Baru-baru ini, Awang Abhar Munawar telah mengadakan perjumpaan bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, yang menyampaikan ucapan tahniah kerana beliau telah dipilih untuk menyertai program tersebut.

Awang Abhar Munawar ketika bertemu TYT Craig Allen di Kedutaan AS. – Gambar oleh Kedutaan AS
Awang Abhar Munawar ketika bertemu TYT Craig Allen di Kedutaan AS. – Gambar oleh Kedutaan AS

TYT Allen dalam kenyataannya berkata: “Sejak beberapa tahun, Kedutaan AS di Bandar Seri Begawan berbesar hati untuk menyemai dan mengukuhkan hubungan antara Brunei dan AS menerusi IVLP.

“Program ini menawarkan peluang menarik kepada penduduk Brunei yang mahu mengembangkan kerjaya sambil mempelajari lebih banyak mengenai AS, rakyat dan dasarnya,” kata TYT Allen.

Awang Abhar Munawar menambah, “Saya tidak sabar menunggu program itu. Bekerja dan berinteraksi bersama para pegawai kerajaan dan ahli akademik dari AS akan membolehkan saya bukan sahaja membangunkan hubungan secara peribadi, tetapi juga mempelajari budaya AS daripada perspektif tempatan.”

IVLP yang memasuki usianya yang ke-75 tahun juga memberikan peluang untuk mengukuhkan hubungan antara peserta antarabangsa dan rakan sejawatan mereka dari AS.

Di samping memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan, IVLP juga merupakan satu program pertukaran penting Jabatan Negara AS, yang menghubungkan para pemimpin negara asing bersama rakyat AS menerusi program jangka pendek bagi membangunkan persefahaman bersama mengenai pelbagai isu.

Hampir 200,000 individu telah menyertai program itu termasuk lebih daripada 335 bekas dan ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan dan pemimpin dari sektor awam dan swasta.

Maklumat lanjut IVLP boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://exchanges.state.gov/ivlp/ivlp.html.

ARTIKEL YANG SAMA