Bina pondok konsep pelancongan

Bina pondok konsep pelancongan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 Nov – Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) bersama agensi-agensi kerajaan dan sukarelawan Daerah Tutong telah menganjurkan kerja gotong-royong bagi membina pondok-pondok dan lain-lain kemudahan berkonsepkan pelancongan sempena Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong di Taman Rekreasi Sungai Basong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu khas pada acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam; wakil dari agensi-agensi kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli MPMK Daerah Tutong.

Kerja-kerja gotong-royong ini merupakan program berterusan Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) cawangan Daerah Tutong yang disokong bersama MPMK, badan penyelaras dan promosi pelancongan dan sukarelawan daerah ini bagi meningkatkan lagi kemudahan-kemudahan yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Basong untuk menjadi salah satu tempat menarik yang menjadi tempat kunjungan orang ramai serta seisi keluarga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lawatan, riadah, bersukan dan sebagainya selain daripada mengangkat program Destinasi Tutong.

Pelbagai agensi dan sukarelawan Daerah Tutong ketika bergotong-royong membina pondok-pondok di Taman Rekreasi Sungai Basong, kelmarin.
Pelbagai agensi dan sukarelawan Daerah Tutong ketika bergotong-royong membina pondok-pondok di Taman Rekreasi Sungai Basong, kelmarin.
Yang Berhormat Haji Ramli ketika menyaksikan acara bergotong-royong membina pondok-pondok dan lain-lain kemudahan di Taman Rekreasi Sungai Basong.
Yang Berhormat Haji Ramli ketika menyaksikan acara bergotong-royong membina pondok-pondok dan lain-lain kemudahan di Taman Rekreasi Sungai Basong.

Antara tujuan gotong-royong ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan MPMK dengan masyarakat di daerah ini terhadap kerja-kerja kemasyarakatan dan perekonomian.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menambahkan lagi kemudahan-kemudahan yang terdapat di kawasan Rumah Warisan Etnik Daerah Tutong agar lebih menarik dan unik serta dapat digunakan untuk aktiviti lawatan seperti pondok-pondok demonstrasi produk kampung berasaskan herba, makanan tradisi puak-puak dan sebagainya serta bahan-bahan pameran untuk pelawat dan pelancong khusus untuk menambahkan lagi keunikan dan keindahan kawasan berkenaan.

Secara tidak langsung, ia dapat menghidupkan budaya kerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan semua lapisan masyarakat di daerah ini di samping dapat bertukar-tukar pandangan, pengalaman dan kemahiran khususnya bagi memberikan pendedahan kepada generasi baru tentang kaedah dan teknik pembinaan berasaskan bahan-bahan alam semula jadi.

Setentunya, acara gotong-royong ini akan memperkenalkan warisan dan kesenian khazanah yang sangat bernilai terutama dari segi sejarah, amalan cara hidup puak dan masyarakat pada zaman silam.

ARTIKEL YANG SAMA