Bina sebuah pasukan professional

Bina sebuah pasukan professional

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Sept – Seramai 25 tenaga pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) buat julung kalinya menyertai Bengkel ‘Melatih Tenaga Pengajar Kemahiran Hidup’ dalam usaha membina sebuah pasukan profesional yang terlatih untuk membangunkan momentum dan keupayaan pakar dalam kemahiran hidup.

Bengkel selama lima hari itu yang diadakan di Bilik Wawasan Bangunan Pusat Pembelajaran Brunei Asia-Pasific Shell (BAPSLH) di sini, merupakan usaha bersama antara BAPSLH dan bahagian Perancang Kurikulum IBTE dengan kerjasama kumpulan Syarikat Mashhor Pusat Latihan dan Pembangunan Adinin (ATDC).

Ia antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada kalangan tenaga pengajar IBTE, pentingnya kemahiran hidup dan modul khususnya dalam tiga sasaran iaitu, keyakinan diri, pengetahuan dan kemahiran serta perubahan cara berfikir.

Pengarah Pendidikan Teknikal selaku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Dr. Chin Wei Keh ketika ditemui Media Permata berkata, beliau berharap para peserta bengkel akan mengamalkan apa yang telah diajarkan dan menjadi ketua yang boleh dijadikan contoh kepada pelajar yang merupakan belia aset negara kita.

Sesi bergambar ramai para peserta sebelum bengkel dimulakan.
Sesi bergambar ramai para peserta sebelum bengkel dimulakan.
Dr. Chin Wei Keh, semasa memberikan ucapan sejurus sebelum merasmikan Bengkel Melatih Tenaga Pengajar Kemahiran Hidup.
Dr. Chin Wei Keh, semasa memberikan ucapan sejurus sebelum merasmikan Bengkel Melatih Tenaga Pengajar Kemahiran Hidup.
Antara yang menyertai bengkel tersebut.
Antara yang menyertai bengkel tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Chin Wei Keh berkata, IBTE berusaha untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran bagi faedah sosial dan ekonomi negara.

“Dalam memberikan respon kepada permintaan industri serta menguatkan kemahiran hidup graduan kita, pihak institut telah membentuk semula dan mempertingkatkan program kemahiran hidup, bertujuan membentuk sikap dan tingkah laku positif kepada kalangan pelajar.

“Ini meliputi kemahiran peribadi, interpersonal, kognitif dan psikososial yang membolehkan pelajar berinteraksi secara bersesuaian, membangun cara-cara baru untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, di samping merunding dan menjadi pengantara cabaran dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berharap program baru akan mampu membentuk graduan yang mempunyai kemahiran bukan sahaja teknikal yang membolehkan mereka menjadi ‘bersedia bekerja’ tetapi juga memiliki keupayaan untuk ‘sedia industri’ selepas tamat pengajian nanti.