Bina semangat kepimpinan

Bina semangat kepimpinan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Kepimpinan yang efektif dan berkesan merupakan satu kemahiran yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan untuk memimpin perusahaan melalui pelbagai cabaran dan rintangan bagi mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Dengan matlamat untuk membina semangat kepimpinan itu, seramai 44 individu yang terdiri daripada para pelajar IBTE Kampus Mekanikal, bakal usahawan muda dan orang ramai berjaya menamatkan Program Kem Kepimpinan LiveWIRE yang berlangsung di Trandie Marina Resort, Temburong.

Program selama tiga hari bermula 27 Mei itu, bermatlamat untuk menanam nilai-nilai kepimpinan dalam diri individu peserta dan untuk mendalami sifat-sifat positif serta negatif dalam diri mereka melalui proses penilaian diri sendiri.

Ia juga berasaskan kepada konsep transformasi yang mengetengahkan pendekatan komuniti di mana menurut Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas, program itu juga dihasratkan untuk membuang cara pemikiran Brunei, ‘malas tah ku ingau’.

Para peserta Program Kem Kepimpinan bergambar ramai di Taman Rekreasi Bukit Patoi, Temburong.
Para peserta Program Kem Kepimpinan bergambar ramai di Taman Rekreasi Bukit Patoi, Temburong.

Katanya lagi, jika seorang pemimpin mempunyai pemikiran sebegitu sudah tentunya orang di bawah mereka tidak akan merasa yakin.

Dalam pada itu, matlamat utama program kem kepimpinan itu bukannya untuk merubah sikap para peserta tetapi untuk menjana transformasi dengan penekanan kepada konsep perpaduan dalam kalangan peserta.

Semasa kem itu, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai suasana dan meneroka sifat seorang pemimpin melalui sesi praktikal dan teori.

Dalam sesi teori, Pengiran Redzuan dan Kaunselor Perusahaan LiveWIRE Brunei, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan turut mengongsikan mengenai konsep-konsep psikologi yang dipetik daripada ahli psikologi terkenal termasuk Joseph Luft, Harry Ingham dan Abraham Maslow kepada para peserta.

Sementara itu, semasa sesi praktikal, para peserta telah dibawa merentas hutan dengan diberikan penerangan mengenai pelbagai aspek kehidupan dalam hutan hujan Brunei oleh pemandu hutan berpengalaman yang menekankan kepentingan kerja berpasukan.

“Seorang pemimpin yang baik perlu menjadi seorang pengikut yang baik,” tegas Pengiran Redzuan lagi.

Dalam hubungan itu, para peserta juga dinilai dari segi kualiti positif dalam diri mereka dan selepas membuat perbincangan dalam kumpulan, setiap peserta mendedahkan sifat positif mereka dan bertekad untuk berusaha bagi terus mencapai hasrat berkenaan.

Salah seorang peserta program, Justin Ling Jia Haur menyatakan pentingnya kerja berpasukan, membina keyakinan diri dan menjadi seorang pendengar yang baik merupakan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik.

Beliau juga menyatakan program kem kepimpinan itu amat sesuai bagi sesiapa sahaja yang ingin untuk membangunkan diri mereka.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi peserta program, Penasihat Majlis Pelajar dan Tenaga Pengajar Perancangan Perusahaan bagi IBTE Kampus Mekanikal, Hajah Hadinah Subariah binti Haji Tengah yang berkata bahawa kem itu bukan sahaja memberikan panduan kepada laluan kehidupan baik tetapi pada masa yang sama, kegiatan-kegiatan yang dikendalikan sepanjang kem itu mendidik para peserta mengenai pentingnya pengurusan masa, pengurusan pasukan dan diri sendiri yang baik. Kegiatan-kegiatan yang dijalankan, tambahnya lagi, membina keyakinan diri, ketabahan para peserta serta untuk bekerjasama dan berfikir sebagai satu pasukan yang bersatu.

Pengiran Redzuan lagi turut menjelaskan, Daerah Temburong dipilih sebagai lokasi bagi program itu dengan hasrat untuk mendedahkan para peserta kepada suasana yang berbeza dan untuk menikmati keindahan alam semula jadi di Daerah Temburong.

LiveWIRE Brunei juga merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di 23 buah negara yang menyumbang kepada meningkatkan kesedaran masyarakat Brunei mengenai perlunya untuk mempelbagaikan ekonomi negara dengan membangunkan lebih banyak perniagaan yang mapan.

LiveWIRE Brunei ditubuhkan pada 2011 dengan matlamat untuk memperkenalkan, menggalakkan dan membantu belia Brunei untuk meneroka bidang keusahawanan dengan memberikan mereka akses kepada sumber serta khidmat nasihat dalam menjalankan perusahaan mereka sendiri sebagai kerjaya pilihan dan juga menyediakan program-program mentor.

ARTIKEL YANG SAMA