Bina sistem pendidikan kelas pertama

Bina sistem pendidikan kelas pertama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Pendidikan Keusahawanan dan Pekerjaan Belia di Negara Brunei Darussalam merupakan sebahagian daripada pelan strategik Kementerian Pendidikan untuk membina sistem pendidikan kelas pertama yang menyediakan peluang bagi rakyat dan penduduk negara memenuhi keperluan tenaga kerja serta untuk menjana pekerjaan baru yang datang hasil daripada usaha kepelbagaian ekonomi.

Perkara itu dikongsi oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dalam kenyataannya pada Persidangan Meja Bulat Menteri-menteri Pendidikan China-ASEAN ke-2 di Republik Rakyat China, baru-baru ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom mengetuai rombongan dari Negara Brunei Darussalam yang menghadiri Perasmian Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN (CAECW) ke-9 dan Persidangan Meja Bulat Menteri-menteri Pendidikan China-ASEAN (CAEMRC) ke-2 yang berlangsung di Guiyang International Eco-Conference Centre, Guiyang, Republik Rakyat China yang diadakan pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan di persidangan itu ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan, Dr. Chin Wei Keh dan Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas di Pejabat Timbalan Menteri, Kementerian Pendidikan, Haji Azrul Melda bin Dato Paduka Haji Abu Bakar.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bergambar ramai bersama para perwakilan menteri-menteri pendidikan dari China dan negara-negara ASEAN.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bergambar ramai bersama para perwakilan menteri-menteri pendidikan dari China dan negara-negara ASEAN.

Menurut kenyataan itu lagi, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dalam kenyataannya menyatakan bahawa salah satu cara untuk menangani isu-isu berhubungan dengan pekerjaan belia ialah untuk menggalakkan keusahawanan di mana Brunei mempunyai sebuah dasar yang menggalakkan belia tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan atau bekerja dengan diri sendiri.

Beliau berkata lagi, di Negara Brunei Darussalam, kemahiran dan ilmu pengetahuan keusahawanan ditawarkan di setiap peringkat pendidikan dalam Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21).

Dalam hubungan itu, Kementerian Pendidikan juga merangka Agenda Keusahawanan Kebangsaan sebagai kaedah ke arah pendekatan yang lebih menyeluruh untuk mencapai matlamat itu dengan sokongan kukuh daripada sektor swasta di mana kerjasama yang erat itu, diharap dapat memastikan masalah pengangguran dapat dikurangkan secara berterusan.

Menurut kenyataan itu lagi, acara selama dua hari itu dihadiri oleh menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri pendidikan dari negara-negara anggota ASEAN dan China di mana mereka membincangkan mengenai kaedah untuk meningkatkan kerjasama pendidikan komprehensif di semua peringkat.

Acara kemuncak bagi persidangan meja bulat itu adalah persetujuan bagi cadangan Kenyataan Bersama bagi Pembangunan Pelan Tindakan Kerjasama Pendidikan ASEAN-China bagi menyokong Pelan Kerja ASEAN bagi Pendidikan 2016-2020.

ARTIKEL YANG SAMA