Bincang hak kesamaan jantina, sosial di Hanoi

Bincang hak kesamaan jantina, sosial di Hanoi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Seramai 15 orang peserta dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam telah menghadiri latihan mengenai Meningkatkan Kesamaan Jantina bagi Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Berkeperluan Khas yang berlangsung selama tiga hari di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Dalam latihan itu, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Ketua Jawatankuasa bagi Kanak-kanak, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Dayang Zubaidah binti Dato Abu Zar dan ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Brunei Darussalam, Dayang Jarinah binti Haji Awang Rungging,

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, latihan yang berlangsung dari 18 hingga 20 Mei itu menumpukan ke atas pembangunan dan pengukuhan pemahaman konsepsi ahli Forum Orang Berkeperluan Khas ASEAN (ADF) mengenai identiti jantina, seksualiti dan kesihatan seksual dan reproduktif serta hak-hak yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak perempuan berkeperluan khas.

Selain pemahaman konsepsi, peserta juga menghasilkan strategi sokongan untuk dilaksanakan di peringkat negara dan serantau.

Peserta yang menyertai latihan Meningkatkan Kesamaan Jantina bagi Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Berkeperluan Khas di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.
Peserta yang menyertai latihan Meningkatkan Kesamaan Jantina bagi Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Berkeperluan Khas di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Pelbagai hak juga dibincangkan berhubung hak mereka yang berkeperluan khas yang berkaitan hak untuk hidup, hak kepada privasi, hak untuk memilih sama ada untuk berkahwin atau tidak dan untuk mempunyai keluarga, hak untuk menentukan sama ada atau bila untuk mempunyai anak, hak kepada penjagaan kesihatan dan perlindungan kesihatan, hak kepada manfaat kemajuan saintifik dan hak untuk bebas daripada penyeksaan atau layanan buruk.

Dayang Zubaidah dipetik sebagai berkata, kini mereka mempunyai pemahaman lebih meluas tentang bagaimana mereka boleh membantu meningkatkan kesamaan jantina.

Ini terutamanya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan berkeperluan khas khususnya dalam kemudahan, kebebasan daripada eksploitasi, keganasan dan penganiayaan, penghormatan bagi kediaman dan keluarga yang mana langkah sesuai mesti dilakukan untuk menghapuskan diskriminasi ke atas mereka yang berkeperluan khas dalam perkara berkaitan perkahwinan, keluarga, masa keibubapaan dan perhubungan.

Beliau menambah bahawa perlindungan sosial seperti penjagaan kesihatan dan perubatan atau jaminan kehidupan adalah kepentingan utama mereka yang berkeperluan khas dan tidak semudahnya diperolehi dan termampu bagi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA