Bincang isu hak asasi kanak-kanak

Bincang isu hak asasi kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menyertai Mesyuarat Perkongsian Asia Pasifik ke-2 mengenai gabungan dan rangkaian hak asasi kanak-kanak yang berakhir semalam di Bangkok, Thailand.

Mesyuarat yang bermula pada 29 September lalu itu dianjurkan oleh Gabungan Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) Asia dan ditaja oleh Plan International dan Save the Children.

Menurut kenyataan MKM, yang dikeluarkan di sini, hari ini, Naib Presiden 1 MKM, Dayang Nur Judy binti Abdullah dan Ketua Jawatankuasa Kanak-Kanak, Dayang Zubaidah binti Dato Abu Zar mewakili Brunei ke mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh para peserta dari Filipina, Malaysia, Indonesia, Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Laos, Thailand, Vietnam, Australia, Jepun, Hongkong, Mongolia, India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal dan Taiwan.

Mesyuarat telah membincangkan pelbagai isu hak asasi kanak-kanak baru muncul dan situasi-situasi yang berkaitan dengan keganasan terhadap kanak-kanak yang termasuk perkahwinan kanak-kanak, perlindungan kanak-kanak dalam talian, keadilan juvenil, anak-anak tidak bernegara dan penghijrah, hukuman fizikal dan memalukan, menilai semula pelan tindakan mengenai penghapusan keganasan terhadap kanak-kanak (RPAEVAC) serta pengawasan dan pelaporan hak asasi kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu lagi, perkongsian laporan-laporan negara dari Asia Pasifik telah membawa kepada beberapa kesimpulan mengenai pembangunan perikatan, pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan sokongan.

Gambar ramai selepas mesyuarat tersebut dijalankan.
Gambar ramai selepas mesyuarat tersebut dijalankan.

Dayang Zubaidah dipetik sebagai berkata, “Pada masa sekarang, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda boleh memberi manfaat kerana mereka dapat mengakses maklumat tanpa had, namun ia juga memberi risiko tinggi terhadap mereka kerana ia membuka peluang kepada penjenayah-penjenayah mengeksploitasi mereka”.

Ini merupakan kebimbangan yang semakin meningkat bukan sahaja di Brunei tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Mesyuarat berkenaan berkongsi amalan-amalan terbaik mengenai sokongan perlindungan dalam talian yang boleh dipelajari oleh MKM dan memulakan program-program bagi kanak-kanak di bawah penjagaan MKM.

Dayang Nur Judy menambah, mereka juga berpeluang untuk belajar dan membincangkan Komen Am No. 19 Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CRC) mengenai Belanjawan Awam bagi Merealisasikan Hak Kanak-Kanak.

Menurut kenyataan itu, ini adalah sesuatu yang baru kerana ia mengetengahkan keperluan untuk menangani kekurangan pelaburan yang mencukupi dan efisien terhadap kanak-kanak.

Ia menekankan bahawa pelaburan terhadap kanak-kanak boleh memberikan pulangan ekonomi yang positif menerusi pengurang kos sosial dan membawa kepada promosi dan perlindungan hak kanak-kanak,

Di samping itu, mesyuarat juga membincangkan Proses Pelaporan UN CRC mengenai kemajuan pelaksanaan UN CRC dan protokol-protokol pilihannya.

ARTIKEL YANG SAMA