Bincang isu infrastruktur

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, mengadakan sesi muzakarah bersama beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Betabur, kementerian berkenaan.

Muzakarah berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah. Sementara itu, rombongan ahli-ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Ong Tiong Oh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Menteri Pembangunan dalam ucapan alu-aluannya antara lain telah mengongsikan mengenai isu-isu Kementerian Pembangunan yang sering kali dibangkitkan seperti isu infrastruktur dan pengurusan penyelenggaraannya termasuklah kerja-kerja pemeliharaan, membaik pulih dan menaik taraf aset fizikal kerajaan.

Selain itu, isu-isu yang dibincangkan berhubung dengan bidang tugas lain kementerian iaitu mengenai pengurusan isu sampah (sisa pepejal), dasar dan proses guna tanah, syarat-syarat dan proses perancangan pembangunan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang dikendalikan secara langsung oleh kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bergambar ramai bersama ahli-ahli MMN serta ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan.

Yang Berhormat Ong Tiong Oh selaku wakil ahli-ahli MMN dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa sesi muzakarah itu adalah sebagai salah satu ruang untuk mengetengahkan isu dan cadangan yang boleh dijadikan iktibar dalam rancangan memajukan Negara Brunei Darussalam.

Pada sesi muzakarah itu juga, satu klip video pendek yang memaparkan mengenai peranan dan fungsi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam penyediaan infrastruktur negara ke arah mencapai kehidupan yang berkualiti, pembangunan mapan yang berterusan dan kemakmuran negara telah ditayangkan.

Turut hadir di sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi; ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta pegawai-pegawai di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.