Bincang kerjasama dua hala

Bincang kerjasama dua hala

SINGAPURA, 8 Mei – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Duta Berkelana di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan memulakan lawatan rasmi ke Singapura dengan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang disembahkan oleh Menteri di Jabatan perdana Menteri Puan Yang Terutama Grace Fu, yang juga Menteri Luar Negeri Kedua dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Kedua Republik Singapura.

Majlis Santap Tengah Hari itu diadakan di Tanglin Room, Kementerian Luar Negeri Singapura. Turut hadir ialah Menteri Kanan di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan Republik Singapura, Puan Josephine Teo.

Semasa Majlis Santap Tengah Hari itu, Yang Teramat Mulia dan Puan Yang Terutama Grace Fu bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan kerjasama dua hala.

Pada sebelah petang, Yang Teramat Mulia berangkat membuat lawatan ke Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS). Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Ketua Unit Hal Ehwal Awam ISEAS, Mr Tan Keng Jin.

Puan Yang Terutama Grace Fu menjunjung keberangkatan Yang Teramat Mulia. - Gambar ihsan Kementerian Luar, Singapura
Puan Yang Terutama Grace Fu menjunjung keberangkatan Yang Teramat Mulia. – Gambar ihsan Kementerian Luar, Singapura

Yang Teramat Mulia kemudian meneruskan atur cara lawatan rasmi ke Muzium Nasional Singapura untuk menyaksikan pameran khas “In Memoriam: Lee Kuan Yew” dan menandatangani Buku Takziah.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Pengarah Muzium, Muzium Nasional Singapura, Iskander Mydin.

Yang Teramat Mulia diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, semasa lawatan ini.

ARTIKEL YANG SAMA