Bincang kerjasama pendidikan Brunei-Bangladesh

Bincang kerjasama pendidikan Brunei-Bangladesh

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman hari ini menerima kunjungan muhibah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Parlimen Mengenai Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Dr. Dipu Moni bertempat di Kementerian Pendidikan, Berakas.

Turut hadir menerima kunjungan tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan di sini, kunjungan tersebut bertujuan bagi melihat ruang kerjasama khususnya dalam bidang pendidikan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh.

Yang Berhormat Pehin semasa menerima kunjungan muhibah Puan Yang Terutama Dr. Dipu Moni dan rombongan.
Yang Berhormat Pehin semasa menerima kunjungan muhibah Puan Yang Terutama Dr. Dipu Moni dan rombongan.

Semasa kunjungan itu, Puan Yang Terutama mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan biasiswa kepada pelajar-pelajar Republik Rakyat Bangladesh bagi melanjutkan pelajaran di beberapa buah institusi pengajian tinggi di negara ini seperti di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan juga pengambilan bekerja tenaga-tenaga pengajar di kedua-dua buah negara.

Turut mengiringi Puan Yang Terutama dalam kunjungan ini ialah beberapa orang Ahli Jawatankuasa Tetap Parlimen bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Rakyat Bangladesh dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pengajian Tinggi, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee dan Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Pendidikan, Awang Abdul Khalid bin Haji Mahmood.

ARTIKEL YANG SAMA