Bincang masalah alam semula jadi

Bincang masalah alam semula jadi

SANDAKAN, 27 Ogos (Bernama) – Masalah jerebu dan kepupusan Badak Sumbu Sumatera di negara ini akan menjadi skop perbincangan pada lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Indonesia.

Katanya pada lawatan yang masih belum diputuskan tarikhnya itu, beliau akan berjumpa rakan sejawatnya di Indonesia iaitu Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar Siti Nurbaya.

Katanya perbincangan mengenai pencemaran jerebu ditumpukan kepada langkah pencegahan agar pencemaran jerebu tidak melanda rantau ini.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) juga akan ditandatangani antara kedua negara berhubung tindakan pencegahan jerebu, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pembekal, pengeksport dan pengangkut minyak serta pengusaha jeti di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Junaidi berkata perbincangan berhubung konservasi Badak Sumbu Sumatera juga akan dilaksanakan dengan Indonesia pada lawatan kerja itu. Katanya Badak Sumbu Sumatera dianggap tidak lagi kelihatan di kawasan hutan negara ini tetapi masih ada di Indonesia.

“Kita mahu melakukan kajian bersama berhubung usaha konservasi Badak Sumbu Sumatera,” katanya. Beliau berkata Badak Sumbu Sumatera antara hidupan liar dalam kategori spesies terancam menjadi agenda kepada kementeriannya dari segi usaha konservasi.