Bincang peluang dalam beberapa aspek

Bincang peluang dalam beberapa aspek

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Perbincangan terbuka mengenai peluang-peluang yang ada dalam sektor budaya, makanan dan juga pelancongan, terutama di rantau Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina telah diadakan pada hari kedua Ekspo Kebudayaan dan Makanan, Flavours BIMP-EAGA & Beyond 2016 di The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Hadir sama mendengarkan forum berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan Brunei Darussalam BIMP-EAGA, Pengiran Yura Kesteria bin PSN Pengiran Haji Mohd Yusuf.

Forum berkenaan menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Konsultan SHJ, Sheikh Jamaluddin bin Sheikh Mohammad, Dr. Nur Rahman dari Ghanim International Corporation Sdn Bhd, dan Haji Mahmud bin Haji Mohd Daud dari MDG Services. Semasa perbincangan itu, Dr. Nur Rahman menyatakan pandangannya bahawa Brunei merupakan negara yang sangat selamat, sangat aman dan sangat menarik.

Sheikh Jamaluddin (hujung kiri), Dr. Nur Rahman (dua kiri) dan Haji Mahmud (dua kanan) ketika forum berkenaan berlangsung.
Sheikh Jamaluddin (hujung kiri), Dr. Nur Rahman (dua kiri) dan Haji Mahmud (dua kanan) ketika forum berkenaan berlangsung.

“Orang di luar Brunei berfikir bahawa Brunei adalah sebuah negara yang selamat, dan perkara yang lebih penting ialah orang berfikir bahawa Brunei adalah sebuah negara yang sangat kaya. Itu merupakan persepsi/tanggapan orang luar dan ianya merupakan perkara yang baik.”

Dengan tanggapan orang luar begitu, beliau berkata ahli-ahli perniagaan dari luar negeri yang berminat akan teruja untuk berniaga di Brunei kerana lebih mudah untuk menjalankan perniagaan di Brunei berbanding di negara lain.

Namun ada perkara yang perlu diubah untuk melaksanakannya, tekan beliau, “kita perlu mengubah budaya dalam cara kita melakukan sesuatu. Kita membandingkan diri kita dengan Singapura. Kita perlu melihat Singapura dan lihat diri kita sendiri (Brunei). Oleh itu, kita perlu berubah secara beransur-ansur.”

ARTIKEL YANG SAMA