Bincang pembangunan sains dan teknologi makanan

Bincang pembangunan sains dan teknologi makanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ASEAN mengenai Sains dan Teknologi Makanan ke-46 membuka tirainya hari ini di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Berakas, di sini.

Perasmian mesyuarat berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Khartini binti Haji Musa.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, dan dari Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri serta pensyarah-pensyarah kanan dari Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Khartini menekankan mengenai komitmen berterusan kerjasama ASEAN dalam bidang-bidang keutamaan sains dan teknologi makanan yang selaras dengan keperluan negara, dengan matlamat memperbaiki kualiti institusi-institusi penyelidikan saintifik dan mengukuhkan pembangunan sumber manusia dalam, teknologi dan inovasi sains makanan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, mesyuarat dua hari itu bermatlamat untuk membincangkan projek-projek utama dan aktiviti-aktiviti yang dirancang di bawah Pelan Kerja Jawatankuasa Kecil 2016-2025 yang selaras dengan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2016-2025, dalam menyokong komitmen ke arah pembangunan sains dan teknologi makanan bagi 10 tahun akan datang.

Hajah Khartini bergambar ramai bersama para peserta Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ASEAN mengenai Sains dan Teknologi Makanan ke-46 yang berlangsung kelmarin.
Hajah Khartini bergambar ramai bersama para peserta Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ASEAN mengenai Sains dan Teknologi Makanan ke-46 yang berlangsung kelmarin.

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan Program Persidangan Makanan ASEAN (AFC), yang mana AFC ke-14 terakhir telah diadakan pada Jun 2015 di Manila, Filipina.

Persidangan setengah-tahunan itu diadakan oleh negara-negara ASEAN bagi membincangkan isu-isu saintifik dan inovasi teknologi untuk membantu keupayaan-keupayaan sains dan teknologi makanan di rantau ini, ke arah pertumbuhan ekonomi dan pengintegrasian ASEAN.

AFC mengetengahkan impak pembangunan teknologi makanan ke atas kesihatan, pemakanan, keselamatan makanan dan alam sekitar. Jawatankuasa Kecil ASEAN mengenai Sains dan Teknologi Makanan (ASCFST) merupakan salah satu daripada jawatankuasa kecil di bawah skop Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains dan Teknologi (ASEAN COST).

ASCFST antara lain berobjektif untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kerjasama dalam projek-projek saintifik yang memaksimumkan mekanisme yang membolehkan penyertaan negara mengikut keupayaan kini dan potensinya; meningkatkan interaksi di antara saintis-saintis makanan dan sektor swasta bagi mengukuhkan hasil kerjasama saintifik dan mempromosikan kerjasama antara ASEAN pada peringkat lebih tinggi; serta mewujudkan kerjasama dengan rakan-rakan dialog antarabangsa dan meningkatkan pemindahan teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA