Bincang perincian acara sambutan Hari Keputeraan

Bincang perincian acara sambutan Hari Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan berangkat ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan Ke-69 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-69 Tahun dan seterusnya dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan.

Yang Berhormat Pehin dalam sembah alu-aluannya berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa kebangsaan sambutan pada 28 Mac lalu menumpukan perbincangan mengenai cadangan tarikh-tarikh pengendalian acara-acara utama Sambutan Perayaan Tahun 2015 dengan menyesuaikan suasana tarikh Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan yang jatuh pada 15 Julai iaitu di dalam bulan Ramadan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Baginda Sultan telah memperkenankan bagi lantikan tambahan ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan dengan melibatkan semua kementerian iaitu pelantikan ahli-ahli termasuk Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-69, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-69, kelmarin.

Antara agenda permesyuaratan hari ini adalah mendengarkan sembah laporan perancangan dan perkembangan persediaan-persediaan serta persiapan-persiapan yang dilaksanakan setakat ini oleh jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan; sembah laporan mengenai persediaan dan persiapan beberapa acara utama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan Ke-69 termasuk keberangkatan Baginda Sultan bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk di daerah-daerah; sembah laporan daripada ahli Jawatankuasa mengenai dengan Majlis Doa Kesyukuran, sembah laporan daripada ahli Jawatankuasa mengenai dengan Istiadat Perbarisan Kehormatan dan sembah laporan daripada ahli Jawatankuasa mengenai dengan Majlis Ilmu.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, pemangku pegawai daerah, wakil-wakil dari sektor swasta dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri dari ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-69 Tahun.

ARTIKEL YANG SAMA