Bincang persiapan sambutan perayaan

Bincang persiapan sambutan perayaan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkenan berangkat ke Mesyuarat Ke-3 Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Bangunan Jabatan Perdana Menteri itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Berhormat Pehin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan tahun ini menyembahkan laporan perkembangan persediaan dan persiapan seterusnya membincangkan perkara yang berhubung kait dengan sambutan perayaan termasuk perkara-perkara yang berbangkit.

Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan menjunjung tinggi titah Baginda Sultan semasa berangkat bercemar duli ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan pada 25 April 2016 lalu.

Beliau seterusnya menyembahkan, titah Baginda itu sangat tinggi nilainya yang mengandungi nasihat, pengamatan tajam dan pandangan terhadap Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 tahun.

Duli Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan mengurniakan sabda.
Duli Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan mengurniakan sabda.
ATAS & BAWAH: Suasana Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan yang Ke-70, kelmarin.
ATAS & BAWAH: Suasana Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan yang Ke-70, kelmarin.

pg03_160525_c

“Titah berkenaan akan menjadi panduan dan pegangan Jawatankuasa dalam memastikan segala persiapan dan persediaan diatur mengikut seperti yang dititahkan oleh Baginda,” tambahnya lagi.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan, tahun ini acara utama sambutan masih dikendalikan dan diadakan seperti pada tahun sebelumnya tapi terdapat sedikit kelainan mengenai konsep dan format persembahan semasa keberangkatan Baginda ke daerah-daerah.

Katanya, agenda mesyuarat hari ini merangkumi laporan persediaan dan persiapan beberapa acara utama sambutan, laporan persembahan keberangkatan Baginda bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di daerah-daerah, selain sembah laporan mutakhir mengenai Istiadat Perbarisan Kehormatan dan sembah laporan mutakhir mengenai Majlis Ilmu 2016.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke mesyuarat hari ini jelas membuktikan keprihatinan, pemedulian serta komitmen selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Baginda ke-70 bagi tahun ini terhadap peranan dan tugas jawatankuasa ini, tambah Yang Berhormat Pehin.

Pada mesyuarat itu, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Haji, Muhammad Sunadi bin Haji Buntar selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 menyembahkan laporan mengenai persediaan dan persiapan beberapa acara utama sambutan.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku Penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan.