Bincang perubahan trend pusat data & cabaran

Bincang perubahan trend pusat data & cabaran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Brusin Company Sdn Bhd dengan kerjasama Schneider Electric, hari ini, telah menganjurkan kursus pengurusan tenaga bertajuk Partner Enablement and Data Center Solutions yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Presiden Schneider Electric Negara Brunei Darussalam, Jeffrey Yap, dalam ucapan alu-aluannya membincangkan mengenai perubahan trend dalam pusat data IT dan pengaruh utama kepelbagaian penggunaan Internet yang menggabungkan IT dengan penggunaan peranti mudah alih.

Menurutnya, peningkatan trend dalam penggunaan peranti mudah alih yang kini melebihi 23 peratus telah melahirkan keperluan untuk penyimpanan Cloud dan co-location (lokasi pendua).

Penceramah undangan pada majlis itu ialah Stephen Djong dari Schneider Electric Singapura yang membincangkan dengan lebih terperinci lagi mengenai trend pusat data dan cabaran yang bakal dihadapi.

Jeffrey Yap menerangkan mengenai pusat data kepada peserta kursus.
Jeffrey Yap menerangkan mengenai pusat data kepada peserta kursus.

Beliau juga mengendalikan kursus latihan dan pengenalan produk kepada kira-kira 50 orang peserta yang hadir.

Dalam kenyataannya, Brusin Trading Sdn Bhd menyatakan bahawa reka bentuk Pusat Data ISX yang disediakan oleh Schneider Electric membolehkan pelanggan membina modular persekitaran berskala yang mengurangkan perbelanjaan dan mengoptimumkan kecekapan operasi serta meningkatkan ketangkasan IT.

Sesi pagi kursus itu memfokuskan kepada vendor yang berminat untuk mempelajari trend pasaran dan produk yang ditawarkan seperti UPS, Rack dan Solusi Pusat Data bagi kegunaan produk IT kritikal.

Sementara itu, sesi petang pula memfokuskan kepada para perunding dan pengguna yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perancangan Pusat Data.

ARTIKEL YANG SAMA