Bincang situasi semasa Temburong

Bincang situasi semasa Temburong

TEMBURONG, 16 Feb – Daerah Polis Temburong telah mengadakan perjumpaan suku tahun ke-4 bagi tahun 2015 bersama pegawai Daerah Temburong dan penasihat-penasihat pengawasan kejiranan (PK) di daerah ini bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa di daerah itu.

Majlis perjumpaan di Dewan Muafakat Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Temburong itu dihadiri Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis Mohammad Azrie bin Haji Talip, Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah dan penasihat-penasihat PK yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim di daerah ini.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad dan beberapa orang ketua cawangan serta pegawai-pegawai dari Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, pada perjumpaan itu, pada hadirin mendengarkan taklimat mengenai perangkaan kes jenayah dan lalu lintas sepanjang suku ke-4 tahun 2015, amaran jenayah serta laporan perkembangan keahlian PK dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Temburong.

Sementara itu, pada sebelah pagi, sesi perjumpaan yang sama di antara Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar dan pengerusi-pengerusi PK serta ketua-ketua kampung Daerah Temburong juga diadakan, di mana turut dijemput dalam perjumpaan itu ialah beberapa orang ketua cawangan Jabatan Kerajaan di Daerah Temburong.

Taklimat dalam kedua-dua sesi perjumpaan berkenaan disampaikan oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail Al-Haj.

Perjumpaan berkenaan juga memberi kesempatan dalam berkongsi pandangan, memberi penerangan dan menjelaskan perkara-perkara yang dipersoalkan oleh Yang Berhormat Haji Sulaiman dan para penasihat serta pengerusi-pengerusi PK.