Bincang sumbangan ulama Asha’irah & Maturidiyyah

Bincang sumbangan ulama Asha’irah & Maturidiyyah

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) akan mengadakan Seminar Serantau Sumbangan Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam Pemantapan Akidah Islam pada 19 dan 20 Ogos ini di Auditorium, UNISSA.

Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya selaku pengerusi majlis memberitahu pada seminar bertema “Ke Arah Pengukuhan Akidah Islamiah” itu sebanyak 38 kertas kerja akan dibentangkan dengan 27 daripadanya dalam Bahasa Arab, sembilan dalam Bahasa Melayu dan dua lagi dalam Bahasa Inggeris.

Menurutnya, seminar kali ini akan membincangkan sumbangan tokoh-tokoh Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam pelbagai ilmu Islam khususnya di Asia Tenggara.

Selain itu, seminar ini juga mementingkan penilaian aliran akidah ulama kontemporari berdasarkan pandangan Asha’irah dan Maturidiyyah, dan penerapan metodologi tokoh-tokoh ulama Asha’irah dan Maturidiyyah misalnya dalam pemikiran, akidah dan akhlak umat masa kini, jelasnya semasa sidang media mengenai seminar berkenaan, hari ini.

Beliau turut memberitahu, pada hari kedua seminar, satu kuliah umum mengenai Akidah Islamiah akan diadakan pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari yang akan disampaikan oleh tiga orang penceramah yang mana kehadiran orang ramai adalah dialu-alukan dengan tidak dikenakan bayaran penyertaan.

Dr Hajah Sarinah menjelaskan mengenai seminar berkenaan semasa sidang media, kelmarin.
Dr Hajah Sarinah menjelaskan mengenai seminar berkenaan semasa sidang media, kelmarin.

Dr Hajah Sarinah menyatakan harapan agar seminar itu nanti akan dapat memberi faedah kepada institusi atau organisasi serta ahli akademik yang lain dalam usaha memperkukuhkan Akidah Islam berteraskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seminar dua hari itu dibukakan kepada ahli-ahli akademik luar dan dalam negara, wakil-wakil institusi kerajaan dan swasta, mahasiswa-mahasiswi UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), KUPU SB, para penuntut sekolah menengah dan sekolah Arab serta orang ramai.

Pendaftaran bagi menyertai seminar akan dibuka sehingga hari pertama seminar pada 19 Ogos, yang mana bayaran adalah $100 bagi peserta wakil institusi kerajaan dan swasta, $50 bagi peserta perseorangan (dalam dan luar negara) dan $20 bagi pelajar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (dalam dan luar negara).

ARTIKEL YANG SAMA