Bincang trend terkini pasaran kewangan 2016

Bincang trend terkini pasaran kewangan 2016

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Selepas tujuh tahun berlalu sejak krisis global pada 2008, pasaran global menunjukkan permulaan yang kurang memberangsangkan bagi awal 2016.

Oleh itu, persoalan yang perlu diketengahkan adalah di mana peluang-peluang yang wujud dalam pasaran global, jelas Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dalam kata alu-aluannya semasa Seminar Pelaburan, Managing FX Volatility from a Weaker Chinese Yuan and Higher US Interest Rates, yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, di ibu negara pada 15 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, seminar pelaburan itu dianjurkan oleh Bank Baiduri bersama dengan rakan strategiknya, DBS Singapore, bagi memberikan maklumat terkini kepada pelanggan-pelanggan bank berkenaan mengenai trend terkini dalam pasaran kewangan.

Seminar itu dihadiri oleh pelanggan-pelanggan Bank Baiduri, pihak pengurusan dan kakitangan Bank Baiduri termasuk Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Operasi dan Pembangunan Strategik & Kepelbagaian Bank Baiduri, Andrew Young dan Ketua Pengurusan Harta, Bank Baiduri, Peng Eng Soon.

Pengiran Azaleen ketika menyampaikan kata alu-aluannya semasa seminar pelaburan tersebut.
Pengiran Azaleen ketika menyampaikan kata alu-aluannya semasa seminar pelaburan tersebut.
Philip Wee ketika memberikan penerangannya mengenai keadaan terkini pasaran global seminar berke-naan.
Philip Wee ketika memberikan penerangannya mengenai keadaan terkini pasaran global seminar berke-naan.

Menurut kenyataan itu lagi, seminar pelaburan itu disampaikan oleh Pakar Ekonomi Mata Wang Kanan, DBS Singapura, Philip Wee Sung Seng, yang bertanggungjawab bagi penyelidikan mata wang serta penyelidikan ekonomi makro bagi bank berkenaan.

Philip Wee dalam seminar itu membincangkan mengenai kejatuhan harga minyak, kejatuhan nilai mata wang dan transaksi ekonomi China yang lembap. Beliau turut membincangkan mengenai evolusi ekonomi global dan pasaran kewangan dalam tempoh tujuh tahun selepas krisis kewangan global yang lalu.

Bank Baiduri menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan pelaburan dan pada masa ini, menawarkan promosi istimewa di mana mereka yang mendaftar bagi pelan perlindungan dengan premium tahunan $2,000 dan pelan simpanan yang tertentu, akan menerima peranti pintar, Samsung Galaxy Tab.

Di samping itu, mereka yang mendaftar untuk pelan bulanan dengan premium $100 pula, akan menerima sebuah Hydroflask.

ARTIKEL YANG SAMA