Bingkai gambar ranting penghias gambar istimewa

Bingkai gambar ranting penghias gambar istimewa

Oleh Amri HTZ

 

SESEBUAH gambar memaparkan pelbagai peristiwa yang berlaku pada sesuatu masa dan tempat. Ia merakamkan pelbagai cerita yang begitu penting terhadap seseorang individu yang dapat dijadikan kenangan. Sering kali kita melihat gambar diletakkan ke dalam bingkai dan diletakkan di atas perabot perhiasan atau tergantung di dinding sesebuah ruang bilik. Tetamu yang datang berkunjung setentunya akan memerhatikan gambar-gambar yang dipaparkan yang secara tidak langsung menjadikan sesebuah gambar itu menjadi tarikan. Untuk menambahkan lagi keindahan gambar yang dimiliki, bingkai yang digunakan perlulah nampak menonjol di mata para pemerhatinya. Anda boleh melakukannya tanpa membeli bingkai gambar baru yang agak berharga dengan menghiaskan bingkai lama dengan ranting-ranting pokok yang boleh diperoleh di sekitar kawasan anda.

Barang yang diperlukan

Pada projek ini, hanya sedikit barang-barang yang diperlukan untuk menghias bingkai gambar yang lama untuk menjadikannya kelihatan baru dan menarik. Barang-barang yang diperlukan ialah bingkai gambar, kain atau tisu pakai buang, ranting kayu (banyaknya mengikut saiz bingkai yang digunakan), gam kayu atau gam pistol panas, gergaji, pemotong dawai, pita pengukur dan paku kecil.

Proses pembuatan

Pada projek ini, dua jenis bingkai gambar yang menggunakan ranting kayu akan diterangkan. Penerangan yang pertama akan dilakukan pada bingkai yang menggunakan ranting kayu kecil sebesar kurang daripada jari kelingking orang dewasa. Sebelum memulakan proses pembuatan, anda perlu memastikan bingkai yang akan digunakan bebas daripada habuk, bahan-bahan asas minyak dan sebagainya. Membersihkan bingkai yang kotor bukanlah suatu perkara yang sukar, anda hanya perlu menggunakan kain atau tisu untuk mengesat sudut atau permukaan kotor dengan bantuan sedikit air. Setelah bingkai gambar dibersihkan, anda bolehlah beralih kepada proses pembuatan.

Bingkai ranting pertama menggunakan ranting untuk menghias bingkai gambar.
Bingkai ranting pertama menggunakan ranting untuk menghias bingkai gambar.

MPDIY LOGO

Proses melekatkan ranting dengan cara menyusun setiap satu batang ranting.
Proses melekatkan ranting dengan cara menyusun setiap satu batang ranting.

Pada langkah pertama pembuatan bingkai ranting pertama, anda perlu menyediakan ranting pokok yang banyaknya kira-kira mengikut genggaman tapak tangan. Ranting-ranting yang digunakan perlulah dipilih terlebih dahulu mengikut kesesuaian minat anda. Terdapat pelbagai warna kulit kayu yang berlainan mengikut jenis pokok juga memainkan peranan penting dalam penampilan hasil akhir bingkai anda. Selain itu, perlu dipastikan kulit kayu ranting yang digunakan kekal dalam keadaan baik (tidak mudah tertanggal).

Setelah memperoleh ranting yang secukupnya, anda perlu memotong ranting-ranting yang disediakan mengikut saiz yang bersesuaian dengan bingkai yang digunakan menggunakan pemotong dawai. Perlu diingatkan, jika saiz bingkai yang anda gunakan mempunyai kelebaran 2’’, anda perlu membuat pemotongan lebih daripada saiz tersebut. Selain itu ukuran setiap ranting yang dipotong tidaklah perlu mempunyai saiz yang sama. Dengan melakukan hal ini, ketidaksamaan dalam saiz ketika menyusun ranting pada permukaan bingkai akan mencantikkan lagi bingkai tersebut.

Setelah menyediakan ranting yang telah dipotong-potong mengikut kesesuaian bingkai, anda bolehlah melakukan langkah kedua pembuatan bingkai untuk gambar anda. Pada proses ini, gam pistol panas akan digunakan untuk melekatkan setiap ranting pada bingkai yang digunakan. Susun setiap satu batang ranting dengan rapat untuk melindungi bahagian belakang permukaan bingkai. Perlu ingatkan untuk tidak untuk mengambil jalan mudah dengan menyapukan gam panas pada semua bahagian untuk meletakkan ranting secara serentak untuk menjimatkan masa dan tenaga. Perkara ini hanya kan menyukarkan anda kerana sifat gam panas yang cepat mengering akan membuatkan sebahagian ranting yang dilekatkan akan mudah tertanggal sekali gus menjadikan kerja yang dilakukan bertambah sukar. Letakkan gam pada setiap satu batang ranting secukupnya dan susun rata batang ranting dengan menutupi ruang-ruang yang terdedah. Ruang-ruang kosong yang terdedah apabila ranting siap dilekatkan pada bingkai gambar boleh ditutup dengan ranting-ranting yang bersaiz kecil.

Cara menyusun ranting pada bingkai gambar.
Cara menyusun ranting pada bingkai gambar.
Ranting pokok yang dikumpulkan.
Ranting pokok yang dikumpulkan.
Bingkai ranting kedua, menggunakan teknik yang berlainan dalam penampilannya.
Bingkai ranting kedua, menggunakan teknik yang berlainan dalam penampilannya.

Pada bingkai gambar kedua, proses pembuatannya sedikit sukar dibandingkan dengan bingkai pertama. Ini kerana proses pemotongan ranting kayu yang bersaiz besar kepada bahagian-bahagian kecil memerlukan masa dan tenaga. Pada proses ini, ranting-ranting kayu bersaiz ibu jari orang dewasa perlu dipotong kepada bahagian-bahagian kecil dengan ketebalan lebih kurang 2.5cm. Bagi anda yang mempunyai mesin gergaji meja, perkara ini amatlah mudah untuk dilakukan, manakala bagi yang tidak mempunyai kemudahan tersebut, bolehlah menggunakan gergaji pemotong menggunakan tangan.

Setelah selesai proses pemotongan, lekatkan potongan ranting pada bingkai menggunakan gam kayu atau gam pistol panas. Bagi anda yang menggunakan gam kayu, pastikan permukaan bingkai bebas daripada segala bentuk cat. Ini akan membuatkan gam yang disapukan menjadi tidak kukuh. Untuk mengukuhkan lagi ranting yang dilekatkan, penggunaan paku kecil berukuran 5sm bolehlah digunakan. Dalam langkah menukul masuk paku pada bahagian tengah ranting, anda perlu berhati-hati untuk tidak membuatkan ranting kayu pecah sekali gus menyukarkan proses pembuatan.

Selain menggunakan gam kayu, anda bolehlah menggunakan gam pistol panas kerana ia mudah dan cepat. Susun setiap ranting kayu yang disediakan dengan menutupi keseluruhan permukaan bingkai yang digunakan. Dalam langkah ini, ia memerlukan kreativiti untuk memilih bentuk dan menyusun ranting agar dapat menyembunyikan bahagian belakang bingkai sekali gus menjadikannya kurang cantik. Setelah selesai melekatkan ranting-ranting yang telah disediakan, langkah terakhir adalah memilih gambar yang menceritakan pelbagai memori untuk dikongsi bersama tetamu anda.