Bintang Barcelona didakwa tak bayar cukai

Bintang Barcelona didakwa tak bayar cukai

BARCELONA, 29 Sept (Reuters) – Bintang tengah Barcelona dan Argentina, Javier Mascherano didakwa dengan dua tuduhan penipuan cukai terhadap pihak berkuasa Sepanyol membabitkan jumlah melebihi 1.5 juta euro, menurut kenyataan yang disahkan pejabat Pendakwa Raya Awam Sepanyol, semalam.

Mascherano yang menyertai Barca dari Liverpool pada Ogos 2010 didakwa berusaha menyembunyikan perolehan pendapatan hak imejnya dengan menggunakan syarikat yang ditubuhkan di Amerika Syarikat dan Portugal, kata pejabat pendakwa raya.

Pemain berusia 31 tahun itu dituduh menipu pihak berkuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan nilai 587,822.01 euro dan 968,907.76 euro pada tahun 2012. Mascherano tidak mengeluarkan sebarang komen balas pantas kepada umum mengenai tuduhan itu.

Begitupun bulan ini, pejabat cukai berkata, Mascherano membayar wang yang ditambah dengan faedah berjumlah 200,000 euro kepada mereka dan media tempatan melaporkan perkara ini boleh menyebelahinya andai dia didapati bersalah.

Barcelona dalam pada itu turut tidak memberi sebarang maklum balas mengenai perkara terbabit. Selain Mascherano, pemain-pemain berprofil tinggi Barcelona yang turut dikaitkan dengan penipuan cukai adalah rakan senegaranya, Lionel Messi dan bintang Brazil, Neymar.

Badan kehakiman Sepanyol kini perlu memutuskan sama ada kes membabitkan perlu dibawa ke mahkamah.

Pada Januari 2014, Sandro Rosell mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Presiden Barcelona selepas didakwa menyalahgunakan dana daripada 49 juta pound untuk membawa masuk penyerang Neymar dari Santos pada Jun lalu.

Seorang ahli kelab Barcelona, Jordi Cases, mendakwa jumlah bayaran itu adalah lebih daripada bayaran 48.6 juta pound yang dilaporkan pada ketika itu