Bintang Keputeraan cungkil bakat

Bintang Keputeraan cungkil bakat

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 24 Ogos – Sonata Musim Salju membawa tuah kepada Awang Nurhafiz bin Mohd Roselan apabila dinobat sebagai juara dalam pertandingan nyanyian Bintang Keputeraan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun Bagi Daerah Temburong yang berlangsung di Pentas Perayaan, Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Awang Nurhafiz merupakan seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei di Daerah Temburong berjaya menewaskan lima lagi finalis lelaki dalam Kategori A dengan membawa pulang sebuah trofi dan hadiah sampingan.

Sementara itu, Dayang Afina Munirah binti Razali, pelajar Sekolah Perdagangan Brunei yang membawa lagu Jaga Dia Untuk Ku juga muncul juara setelah berjaya menewaskan enam lagi finalis perempuan dalam Kategori B, serta membawa pulang sebuah trofi dan hadiah sampingan.

Hadir menyempurnakan hadiah kepada para pemenang ialah Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Khairil bin Haji Mahmud.

Juara pertandingan nyanyian Bintang Keputeraan (tengah) bergambar ramai bersama peserta lelaki yang terlibat.
Juara pertandingan nyanyian Bintang Keputeraan (tengah) bergambar ramai bersama peserta lelaki yang terlibat.
Dayang Afina Munirah yang berjaya menewaskan para peserta perempuan yang lain.
Dayang Afina Munirah yang berjaya menewaskan para peserta perempuan yang lain.
Antara sebahagian daripada para peserta perempuan yang menyertai pertandingan nyanyian Bintang Keputeraan.
Antara sebahagian daripada para peserta perempuan yang menyertai pertandingan nyanyian Bintang Keputeraan.

Sebagai pembuka tirai pertandingan nyanyian, kakitangan Radio Televisyen Brunei (RTB) cawangan Daerah Temburong yang juga selaku ahli jawatankuasa persembahan telah memulakan persembahan nyanyian secara beramai-ramai pada malam tersebut.

Menurut pengendali persembahan, pertandingan tersebut dibukakan penyertaannya kepada belia daerah berkenaan yang berumur 14 hingga 35 tahun yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu A bagi peserta lelaki dan Kategori B peserta perempuan, dan sebelum para peserta berjaya hingga ke peringkat akhir, mereka perlu menjalani peringkat saringan sebelum 13 peserta dipilih untuk ke peringkat seterusnya.

Antara tujuan pertandingan pada malam tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru di samping menjalinkan hubungan silaturahim antara kakitangan RTB Temburong dengan para belia yang mengambil bahagian itu.