Bintang muda Thailand kejutkan pemain ranking

Bintang muda Thailand kejutkan pemain ranking

SINGAPURA, 5 Jun (Bernama) – Bintang muda Thailand Suthasini Sawettabut yang memecah dominasi Singapura selama 20 tahun dalam acara ping pong wanita pada Sukan SEA, tekad untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Selepas mengejutkan pemain nombor empat dunia Feng Tianwei dari Singapura untuk mara ke separuh akhir pada Sukan SEA 2015, Suthasini meneruskan rentak cemerlangnya untuk meraih pingat emas acara perseorangan wanita, semalam.

Suthasini yang berasal dari Selatan Thailand, memenangi pingat emas selepas menumpaskan pemain Malaysia, Ng Sock Khim pada aksi final.

“Sasaran saya selepas ini ialah Sukan Olimpik. Saya beraksi tanpa tekanan…saya seperti tidak percaya mampu menewaskan pemain Singapura Feng Tianwei. Dia pemain yang hebat, mungkin dia lebih tertekan berbanding saya.

Aksi pemain muda Thailand Suthasini Sawettabut sewaktu kejohanan Sukan SEA ke-28. – Reuters
Aksi pemain muda Thailand Suthasini Sawettabut sewaktu kejohanan Sukan SEA ke-28. – Reuters

“Sebelum turun ke gelanggang, saya tidak mahu memikirkan apa-apa dan hanya fokus kepada perlawanan. Sock Khim pula banyak melakukan kesilapan pada set penentuan dan ia memberi kelebihan kepada saya,” kata pemain Thailand berusia 20 tahun itu.

Selepas memenangi pingat emas acara perseorangan wanita, tumpuan saya kini adalah untuk acara berpasukan wanita, kata Suthasini.

Suthasini muncul pemain ping pong wanita pertama bukan dari Singapura untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA sejak 1995.

ARTIKEL YANG SAMA