Bio, Creativol kongsi satu mata

Bio, Creativol kongsi satu mata

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Bio FT dan Creativol masing-masing menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kedua Futsal Piala Perdana TelBru 2015 apabila seri 4-4 dalam perlawanan kedua malam tadi.

Creativol tiga kali mendahului Bio FT dalam aksi Kumpulan B di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), hanya menyaksikan Bio FT menyamakan kedudukan.

Sepuluh minit pertama babak pertama menjadi milik Creativol apabila mendahului 1-0 pada minit keempat hasil jaringan Ampuan Mohd Badaruddin disusuli jaringan Awangku Hairul pada minit ke-10 untuk mengukuhkan pendahuluannya kepada 2-0.

Masuk sepuluh minit kedua babak pertama, Bio FT pula lebih dominan dengan serangan berbahaya yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11 menerusi tendangan Mohd Nur Bazli disusuli gol penyamaan 2-2, sumbangan Mohd Khairul pada minit ke-16.

Separuh masa kedua bermula hebat dengan penghasilan tiga gol pada tiga minit pertama bermula dengan jaringan Mohd Yusri untuk Creativol mendahului 3-2 pada minit ke-21, yang segera disamakan oleh Mohd Nur Bazli pada minit ke-22 untuk kedudukan 3-3.

Creativol (biru) dan Bio FT hanya mampu seri untuk berkongsi satu mata.
Creativol (biru) dan Bio FT hanya mampu seri untuk berkongsi satu mata.

Namun seminit berselang, Creativol kembali satu gol di depan apabila giliran Mohd Azwandi pula mencatat namanya dalam senarai penjaring untuk merubah kedudukan kepada 4-3.

Gol penyamaan Bio FT hadir pada minit ke-32 menerusi jaringan Mohd Khairul menjadi gol terakhir perlawanan pada kedudukan kekal 4-4 untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Keputusan seri itu memberikan jaminan kemaraan Hi-Tune SC ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan keduanya 5-1 dalam perlawanan lebih awal iaitu ke atas NJP FT, yang menang 8-5 ke atas Bio FT dalam perlawanan pertama 12 Ogos lalu.

Hi-Tune yang menang 6-5 ke atas Creativol 12 Ogos lalu kini mengumpul enam mata di puncak Kumpulan B, disusuli NJP FT di tempat kedua dengan tiga mata, sementara Creativol dan Bio FT di tempat ketiga dan keempat dengan satu mata.

Perlawanan terakhir Kumpulan B akan berlangsung pada Jumaat ini bermula dengan Bio FT menentang Hi-Tune SC pada jam 8 malam dan NJP FT berdepan Creativol pada jam 9:30 malam. – Hasrulraizan