BIO FT benam Creativol, mara ke final

BIO FT benam Creativol, mara ke final

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – BIO FT meneruskan kembara dongengnya ke final Futsal Perdana TelBru 2015 apabila berterusan memberikan kejutan dengan peningkatan permainannya, kali ini menjadikan Creativol mangsanya dengan catatan kemenangan 3-1 pada perlawanan separuh akhir kedua malam tadi.

Mohd Izrat memberikan permulaan sempurna buat BIO FT dengan pendahuluan 1-0 tatkala perlawanan baru berlangsung seminit. Tiga minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 menerusi jaringan yang disumbangkan oleh Mohd Ali.

Separuh masa kedua berlangsung lebih sengit dengan kedua-dua pasukan berkongsi beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan, tetapi jaringan ketiga BIO FT yang hadir pada minit ke-31 hasil rembatan Mohd Nur Bazli.

Naib juara Kumpulan B, Creativol menghidu peluang untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan apabila Hashimirol akhirnya berjaya membolosi gawang BIO FT pada minit ke-35, hanya lima minit masa perlawanan berbaki.

Lima minit terakhir perlawanan tidak menyaksikan sebarang gol lagi dihasilkan untuk menghantar pesanan kegembiran kepada para pengawai dan pemain BIO FT bahawa kuota kedua final menjadi milik mereka di sebalik keraguan selepas persembahan goyah mereka tewas 5-8 kepada NJP FT pada perlawanan pertamanya semasa peringkat kumpulan.

Tiada siapa menjangka atau sekurang-kurangnya menaruh kepercayaan bahawa pasukan bukan pilihan yang sekadar menduduk tempat ketiga Kumpulan B itu akan berjaya mara sampai ke perlawanan akhir tetapi itulah yang dibuktikannya.

Untuk muncul juara dan berterusan membuktikan ramalan orang ramai adalah salah, BIO FT perlu mencatat sejarah menjadi pasukan pertama mengalahkan satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua perlawanannya setakat ini iaitu Star Madang, yang menang 3-2 dalam perlawanan penuh debaran menentang 1st Five FT pada perlawanan separuh akhir pertama.

Dengan berakhirnya peringkat separuh akhir, kejohanan anjuran NFABD itu akan diteruskan dengan perlawanan penentuan tempat ketiga di antara 1st Five FT dengan Creativol pada Jumaat, 25 September, bermula pukul 8:00 malam, disusuli perlawanan akhir pada Sabtu, 26 September, bermula pukul 8:15 malam di antara Star Madang dengan BIO FT.