Bio FT buat kejutan

Bio FT buat kejutan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Bio FT berjaya memberikan kekalahan pertama kepada Hi-Tune SC dengan jaringan 8-4 dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B Futsal Piala Perdana TelBru 2015, kelmarin.

Ketika Hi-Tune SC dilihat hanya bermain bagi melengkapkan jadual selepas mengesahkan kemaraannya ke pusingan kalah mati menerusi dua kemenangan sebelum ini, Bio FT perlu mengambil kesempatan itu untuk mengutip tiga mata penuh dan kemungkinan besar mara ke pusingan kedua.

Bio FT memperlihatkan matlamatnya untuk menang dengan ledakan pertama pada minit ketujuh dijaringkan oleh Mohd Nur Bazli, tetapi Hi-Tune SC segera membalas dengan dua gol berturut-turut pada minit kelapan dan kesembilan oleh Zulhusni.

Zulhusni mencipta hatrik pada minit ke-15 untuk memberikan pendahuluan selesa 3-1 Hi-Tune SC ke atas Bio FT. Awangku Haji Mohd Rusydi dan Mohd Khairul kemudiannya menghasilkan dua gol pantas pada minit ke-17 untuk mengikat kedudukan kepada 3-3.

Hanya seminit sebelum babak pertama ditamatkan, Bio FT berjaya menerajui perlawanan dengan 4-3 apabila Mohd Izrat pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring, dan kedudukan itu kekal untuk dibawa ke babak kedua.

Mohd Ali (kanan) menjaringkan gol ketujuh Bio FT dalam kemenangan 8-4 mereka ke atas Hi-Tune SC kelmarin.
Mohd Ali (kanan) menjaringkan gol ketujuh Bio FT dalam kemenangan 8-4 mereka ke atas Hi-Tune SC kelmarin.

Masuk semula ke gelanggang pada separuh masa kedua, Bio FT bermula garang dengan penghasilan dua gol pada minit ke-22 dan ke-23, kedua-duanya dijaringkan oleh Mohd Khairul untuk catatan hatriknya.

Pada kedudukan 6-3, Bio FT menjadi semakin ghairah menyerang untuk mendapatkan sebanyak mungkin gol, yang berkemungkinan besar menjadi penentu naib juara Kumpulan B, menjangkakan Creativol pasti menang dalam perlawanan terakhir Kumpulan B menentang NJP FT selepas itu.

Mohd Ali semakin mencerahkan peluang kemaraan Bio FT itu dengan ledakan dua gol peribadinya pada minit ke-32 dan ke-35 bagi menambah jaringan Bio FT kepada lapan gol.

Hi-Tune SC bagaimanapun masih berjaya menambah jaringannya pada minit ke-37, yang turut dijaringkan Zulhusni, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan pada kedudukan 8-4 memihak kepada Bio FT. Kemenangan itu masih belum mengesahkan kemaraan Bio FT ke pusingan kedua walaupun sudah mengumpul empat mata kerana masih perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir Kumpulan B di antara NJP FT, dengan Creativol juga sudah mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA