BIO FT juara Futsal Piala Perdana

BIO FT juara Futsal Piala Perdana

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Skuad BIO FT memecahkan kekebalan lima perlawanan tanpa kalah Star Madang dalam Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi dengan mencatatkan kemenangan 4-3.

Final Futsal Piala Perdana TelBru 2015 itu berakhir penuh dramatik apabila sepakan Mohd Nur Bazli selepas penggera masa berbunyi tetapi sebelum pengadil meniupkan wisel penamat menerjah gawang Star Madang untuk gol keempat BIO FT sekali gus mengalongkan kejuaraan buat BIO FT.

Mohd Nur Bazli bergerak secara solo melakukan serangan balas dari kawasan sendiri ketika perlawanan tinggal 3 saat, membawa bola masuk ke kawasan lawan dari tengah, mengelecek pemain lawan dengan berlari ke kanannya dan kemudian merembat rendah bola pada jarak 10 meter yang melintasi kaki penjaga gol Star Madang dan menggegar gawang.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada pengadil dan hadiah kepada empat pasukan terbaik kejohanan ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru Sdn Bhd, David Kay sambil diiringi Pengarah Pertandingan NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah.

Final di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu pada awalnya diterajui Star Madang 1-0 hasil jaringan Awangku Abdul Rahman pada minit ke-5 tetapi Mohd Izzuddin Bayamin menjadikan kedudukan 1-1 hanya dua minit kemudian.

David Kay ketika menyerahkan Piala Rebutan Futsal Piala Perdana TelBru kepada Pengurus BIO FT.
David Kay ketika menyerahkan Piala Rebutan Futsal Piala Perdana TelBru kepada Pengurus BIO FT.

Selaku juara, BIO FT menerima piala rebutan, piala iringan juara, 25 pingat emas, wang tunai $1500 dan hak merebut Perisai Sumbangsih dengan juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, Kota Junior. Manakala Star Madang menerima piala iringan naib juara, 25 pingat perak dan wang tunai $1000, sementara 1st Five FT yang memenangi tempat ketiga mendapat piala iringan tempat ketiga, 25 pingat gangsa dan wang tunai $500. Manakala Creativol di tempat keempat membawa pulang hadiah wang tunai $300.

Kedua-dua finalis akan diserap masuk ke dalam Liga Super BFL 2016 manakala enam pasukan yang berjaya mara ke suku akhir iaitu MBS Utd SC, Kota Ranger FT, 1st Five FT, BMB FT, Hi-Tune SC, Creativol dan XII Brothers, akan bermain dalam Liga Perdana BFL 2016.

Lapan pasukan lain dalam Liga Super BFL 2016 ialah Kota Junior, Shah United FC, MS ABDB, Arbisyam FC, PBDB FT, Rizfiz FT, Street United FT dan Pega Star FC, manakala empat pasukan yang sedia menanti dalam Liga Perdana BFL 2016 ialah Mixed Star FT, Syahkampong, Silveredz FT dan BSRC FT.

ARTIKEL YANG SAMA