BIO FT kejutkan Street United FT

BIO FT kejutkan Street United FT

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – BIO FT mengejutkan Street United FT apabila mendahului 4-0 pada separuh masa pertama sebelum menang mutlak 6-4 selepas pengadil meniupkan wisel penamat.

Aksi Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menyaksikan BIO FT mendahului 1-0 seawal minit ke-4 menerusi Md Nur Bazli, namun segera dibalas Md Akid Arif pada minit ke-6 untuk kedudukan 1-1.

Dua minit kemudian Md Khairul merubah kedudukan menjadi 2-1, disusuli jaringan Md Nur Yusri pada minit ke-17 dan Md Fauzillah ketika babak pertama berbaki seminit lagi untuk membawa BIO FT jauh mendahului 4-1 ke masa rehat.

Baru seminit babak kedua bermula kedudukan sudah menjadi 5-1 apabila Md Nur Yusri menyumbat gol keduanya malam itu.

Aksi perlawanan antara BIO FT dengan Street United FT yang berkesudahan 6-4 memihak BIO FT.
Aksi perlawanan antara BIO FT dengan Street United FT yang berkesudahan 6-4 memihak BIO FT.

Jaringan sendiri pemain BIO FT pada minit ke-24 seakan-akan memberikan talian hayat kepada Street United FT kerana bertitik tolak daripada gol itu Md Akid mendapat jaringan peribadi keduanya empat minit kemudian untuk merapatkan kedudukan kepada 5-3.

Ketika semangat pemain Street United FT sudah bangkit itu, Md Khairul meledakkan gol peribadi keduanya pada minit ke-31 untuk mengembalikan pendahuluan tiga gol BIO FT iaitu 6-3.

Md Abdul Azim berjaya merapatkan semula jurang dengan golnya pada minit ke-36 namun agak terlambat kerana BIO FT ternyata bertahan baik selepas itu untuk memuktamadkan keputusan 6-4 sekali gus meraih tiga mata penting.

Dalam perlawanan awal sebelum itu pula menyaksikan Pega Star FT dan First Five FT bersaing sengit sebelum Pega Star FT mengesahkan tiga mata menjadi miliknya dengan kemenangan 7-5.

ARTIKEL YANG SAMA