BIO FT tepis keraguan, belasah Hi-Tune SC

BIO FT tepis keraguan, belasah Hi-Tune SC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Kini lengkaplah sudah empat kuota separuh akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015 terisi selepas BIO FT menepis keraguan ramai untuk mengulangi kemenangan bergaya 8-4 ke atas pasukan pilihan, Hi-Tune SC.

Tempat ketiga Kumpulan B, BIO yang sekadar bernasib baik mara ke Peringkat 16 Terakhir sebagai satu-satunya pasukan di tempat ketiga peringkat kumpulan yang layak, membuktikan kejayaannya menewaskan juara Kumpulan B, Hi-Tune dengan jaringan yang sama semasa peringkat kumpulan bukannya ‘nasib baik’.

Kemenangan BIO ke atas Hi-Tune pada ketika itu dikritik kerana Hi-Tune disangka ramai tidak bermain bersungguh-sungguh setelah sudah mengesahkan kemaraannya ke pusingan kalah mati dengan catatan 6 mata dari dua perlawanan awalnya iaitu 6-5 ke atas Creativol dan 5-1 ke atas NJP FT.

Mohd Izzudin (jersi 18 jingga) ketika menjaringkan gol ketiga BIO pada minit ke-18 untuk BIO mendahului 3-1.
Mohd Izzudin (jersi 18 jingga) ketika menjaringkan gol ketiga BIO pada minit ke-18 untuk BIO mendahului 3-1.

Persembahan separuh masa pertama BIO itu saja sudah cukup untuk menutup mulut para pengkritiknya. Walaupun tampak goyah dengan bolos seawal minit pertama menerusi jaringan Mohd Zulasri untuk Hi-Tune mendahului 1-0, sepuluh minit kedua babak pertama menyaksikan BIO membolosi lawannya sebanyak empat kali. Mohd Ikhwanuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-11 dan beberapa saat kemudian BIO mendahului 2-1 hasil jaringan Mohd Khairul. Mohd Izzudin menyumbat gol ketiga BIO pada minit ke-18 dan seminit kemudian Mohd Ali pula menyumbangkan gol untuk BIO mendahului 4-1.