BIO FT tumpaskan DST FC 5-4

BIO FT tumpaskan DST FC 5-4

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Perlawanan terakhir 16 Terakhir berlangsung hebat dengan kedua-dua pasukan, DST FC dan BIO FT masing-masing merasai pendahuluan dua gol dan terikat dua kali sebelum jaringan Mohd Ikhwanuddin seminit sebelum perlawanan tamat menghadiahkan kemenangan 5-4 BIO FT ke atas DST FC.

DST FC menerajui perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu pada kedudukan 2-0 sehingga rehat hasil jaringan Mohd Akhyar pada minit ke-9 dan Ahmad Aiman pada minit ke-14.Separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan BIO FT bermula dengan jaringan Mohd Khairul hanya tiga minit selepas rehat, disusuli gol penyamaan Mohd Fauzillah pada minit ke-26 untuk mengubah kedudukan menjadi 2-2.

Dua minit selepas itu sepakan kencang Mohd Izzuddin menggegar gawang atas DST FC untuk BIO FT buat pertama kalinya mendahului perlawanan, dengan jaringan 3-2.Tiga minit kemudian iaitu pada minit ke-31, Md Jusli yang berdiri berseorangan berdekatan tiang kanan DST FC tanpa seorang pun pemain DST FC berdekatan dengannya, mudah menolak bola masuk untuk gol keempat BIO FT.

Pada ketika perlawanan dilihat mula beralih arah memihak BIO FT, Mohd Nizam berjaya mencantas pendahuluan BIO FT kepada satu gol hanya seminit selepas gol keempat BIO FT berkenaan.Seminit berselang iaitu pada minit ke-33, kedudukan kembali seimbang, 4-4, menerusi ledakan kencang Md Azmy dari dalam petak yang sempat menyentuh hujung jari penjaga gol BIO FT sebelum menggegar gawang tengah sebelah atas BIO FT.

Mohd Ikhwanuddin meraikan golnya untuk gol kelima dan kemenangan 5-4 BIO FT ke atas DST.
Mohd Ikhwanuddin meraikan golnya untuk gol kelima dan kemenangan 5-4 BIO FT ke atas DST.

Pada minit ke-39, Md Izzuddin mendapati dirinya diberikan ruang luas di kawasan depan luar petak DST FC tatkala para pemain DST FC hanya berundur. Dia berlagak seolah-olah melakukan percubaan ke gawang tetapi sebaliknya menghantar bola ke tiang kanan DST FC untuk mudah ditolak masuk Md Ikhwanuddin yang sudah sedia menanti tanpa dikawal.

Kemenangan pasukan di tempat ketiga Kumpulan B berkenaan mengesahkan penyertaannya ke dalam Liga Futsal Brunei (BFL) 2016 dan kemaraannya ke suku akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015 membua janji temu dengan juara Kumpulan B, Hi-Tune SC pada Jumaat, 18 September nanti bermula pukul 9:30 malam.

Dalam pertemuan antara keduanya semasa peringkat kumpulan pada 28 Ogos lalu, BIO FT berjaya menewaskan Hi-Tune SC dengan jaringan 8-4, yang berjaya membantunya mara ke peringkat 16 Terakhir selaku tempat ketiga terbaik dengan 4 mata dan 17 jaringan.