Biotechcorp sasar pelaburan RM4 bilion tahun ini

Biotechcorp sasar pelaburan RM4 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) – Malaysian Biotechnology Corp (BiotechCorp) menjangka dapat menarik pelaburan bernilai RM4 bilion tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Beliau berkata misi promosi perdagangan dan pelaburan BiotechCorp di Itali dan Amerika Syarikat dari 9 hingga 18 Jun ini dijangka meraih sekurang-kurangnya RM1 bilion pelaburan berpotensi.

“Kami telah berbincang dengan sebahagian daripada pelabur dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu yang masih belum membuat keputusan untuk melabur.

“Kami harap dapat memuktamadkan sebahagian daripada pelaburan ini (semasa misi) dan kami mahu menghasilkan sekurang-kurangnya RM20 bilion lagi dari segi pelaburan berpotensi dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan misi berkenaan, di sini hari ini.

Misi ke Itali akan bermula di Milan pada 9 Jun dengan program ‘Malaysia Bioeconomy Partnering Day’, diikuti pelancaran produk Bioshoppe di Expo Milano 2015.

Antara perkongsian yang akan dibentuk semasa di Itali ialah dengan Assobiotec, persatuan bagi pembangunan bioteknologi Itali yang akan membuka peluang kepada kedua-dua negara berkongsi amalan terbaik dalam produk berasaskan bio.

Syarikat kemudian akan melancarkan pejabat induk pertamanya, BiotechCorp International Inc, di San Francisco pada 12 Jun sebelum mengambil bahagian untuk kali ke-11 dalam Konvensyen Antarabangsa BIO di Philadelphia pada 16 Jun.

BiotechCorp, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan agensi pembangunan peneraju dan penggerak utama industri berasaskan bio di Malaysia.