Biro Wanita buka Gerai Ramadan

Biro Wanita buka Gerai Ramadan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkah ini, Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Lumapas (Biro Wanita MPML) turut mengambil kesempatan untuk bergiat aktif dalam menjana sumber kewangan dengan melancarkan Gerai Ramadannya di No 154, Kampung Lupak Luas, Jalan Lumapas, hari ini.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Lumapas, Haji Abu Bakar bin Haji Mansor.

Pengerusi Biro Wanita MPML, Hajah Hammah binti Puasa ketika ditemui, menjelaskan bahawa gerai jualan itu adalah merupakan yang pertama kalinya diadakan dan kemungkinan akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan biro berkenaan.

“Mungkin, jika ada sambutan yang baik, kami akan melanjutkannya menjadi aktiviti setiap hujung bulan di sini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, penduduk kampung di Mukim Lumapas ini mempunyai pelbagai kebolehan dari segi membuat makanan dan kuih-muih, kemahiran kraf tangan dan banyak lagi.

Hajah Hammah bergambar ramai bersama para peniaga di gerai itu.
Hajah Hammah bergambar ramai bersama para peniaga di gerai itu.
Pelbagai jenis juadah yang dijual di gerai berkenaan.
Pelbagai jenis juadah yang dijual di gerai berkenaan.
Hajah Hammah memberitahu akan melanjutkan gerai berkenaan jika mendapat sambutan.
Hajah Hammah memberitahu akan melanjutkan gerai berkenaan jika mendapat sambutan.

Di samping itu, Biro Wanita MPML akan terus berusaha untuk mendapatkan kewangan bagi membiayai aktiviti-aktiviti berkebajikan yang diadakan pada masa akan datang.

“Insya Allah Biro Wanita MPML juga akan mengadakan aktiviti khatam Al-Quran dan acara sambutan Hari Raya yang akan dibincangkan bersama ahli-ahli kami.”

Selaku Pengerusi Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Lumapas, beliau berharap agar aktiviti seperti ini akan dapat memperkenalkan ahli-ahli Biro Wanita MPM Lumapas yang ada di mukim ini kepada orang ramai.

Biro berkenaan juga akan turut berusaha sama-sama berganding bahu dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan di mukim ini.

Gerai Ramadan ini juga dibukakan kepada ahli Biro Wanita MPML dan juga orang ramai yang ingin berniaga secara kecil-kecilan.

ARTIKEL YANG SAMA