Bisa Jamie Vardy sudah tiada

Bisa Jamie Vardy sudah tiada

LONDON, 30 Nov – Musim lepas, Jamie Vardy dipuji oleh seluruh dunia susulan kejayaannya mencipta rekod gol berturut-turut dalam 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) namun kini dia mengharungi kemarau gol yang turut mencerminkan kejatuhan Leicester City di pentas domestik.

Pemain berusia 29 tahun yang dibeli dari kelab kerdil, Fleetwood Town pada 2012 menjadi bintang selepas membantu Leicester menjulang trofi kejuaraan EPL musim lalu.

Dia kini sudah mengharungi 15 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol, dengan kekalahan kepada Sunderland Sabtu ini menyaksikan penyandang juara itu mungkin tergelincir ke zon penyingkiran.

Sukar untuk menyatakan apakah alasan kukuh terhadap kejatuhan Vardy dan Leicester di pentas domestik selepas kelab itu mengharungi permulaan cemerlang pada kempen sulung di Liga Juara-Juara dan sudah pun mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati berbaki satu perlawanan.

Pertahanan tengah, Danny Simpson berkata kelab-kelab di EPL ketika ini bermain lebih dalam bertemu musim ini, tidak membenarkan pertahanan memegang bola yang sering diekploitasi Vardy menerusi kepantasannya.

Persembahan Jamie Vardy musim ini tidak lagi semantap musim lepas. – AP
Persembahan Jamie Vardy musim ini tidak lagi semantap musim lepas. – AP

Selain itu, mereka kehilangan pemain tengah berpengaruh, N’Golo Kante kepada Chelsea dan menjadi tonggak kelab barunya ketika ini.

Pengurus, Claudio Ranieri setakat ini mengekalkan kepercayaannya terhadap Vardy, menjadi satu-satunya penyerang yang beraksi penuh dalam kempen Liga Juara-Juara dan sekali pun hanya menjaringkan dua gol sepanjang 958 minit di pentas EPL musim ini.

Bekas penyerang England, Michael Owen, awal musim ini mencetus debat selepas dia menyifatkan Vardy bukan penyerang semula jadi.

Begitupun, Simpson membalasnya dengan mengatakan 24 gol yang dijaringkan rakan sepasukannya musim lalu menceritakan segala-galanya. “Saya berada di belakangnya 100 peratus,” kata Simpson.

“Kamu harus melihatnya berlatih, dia menggegar gawang di setiap posisi. Dia hanya hilang satu perkara, apabila dia memperolehnya semula, dia akan menjaringkan lebih banyak gol.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA