Bistro Amerika bakal dibuka di Malaysia, Indonesia

Bistro Amerika bakal dibuka di Malaysia, Indonesia

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) – TR Fire Grill, bistro Amerika yang diilhamkan daripada seorang chef, bakal dibuka di Malaysia dan Indonesia, penerokaan pertama restoran masakan barat itu di luar dari Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Grand Companions Sdn Bhd, francaisinya bagi Malaysia dan Indonesia, George Ang berkata, syarikat itu merancang melabur kira-kira RM2.2 juta dalam setiap cawangan restoran TR Fire Grill.

“Menjelang Jun atau Julai 2016, kami akan membuka restoran pertama di Kuala Lumpur dan diikuti dua lagi di Jakarta, Indonesia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

TR Fire Grill dilancarkan pada Mac 2015 oleh Romacorp, yang memiliki satu lagi jenama restoran rantaian kasual Amerika yang terkenal, Tony Roma. Grand Companions juga merupakan rakan kongsi francais Romacorp bagi restoran Tony Roma di Malaysia.

Mengenai pengembangan restoran Tony Roma di Malaysia, Ang berkata syarikat itu ketika ini mengusahakan sembilan restoran Tony Roma di Malaysia dan merancang menambah empat lagi dengan pelaburan bernilai RM2 juta setiap satu.

“Sebuah cawangan baharu akan dibuka di Vivacity Megamall di Sarawak dan tambahan tiga lagi cawangan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi,” katanya.

Menurutnya, Grand Companions dapat mengekalkan bilangan pelanggannya bagi restoran Tony Roma di Malaysia dan menjangka meraih jualan bernilai RM250 juta pada akhir 2015.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Romacorp Stephen K. Judge berkata Malaysia merupakan satu daripada pasaran utama bagi kumpulan yang berpangkalan di AS itu.

Beliau berkata kumpulan itu ketika ini sedang membangunkan jenama baharu untuk terus menyediakan penawaran kepada pasaran makanan dan minuman yang pantas berkembang.