Bitumen ‘60/70’ sesuai untuk jalan raya Sabah – Pairin

Bitumen ‘60/70’ sesuai untuk jalan raya Sabah – Pairin

KOTA KINABALU, 7 Okt (Bernama) – Bitumen bergred penembusan 60/70 oleh Shell Malaysia sesuai untuk jalan raya dalam persekitaran panas dan lembap di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, negeri itu berminat untuk melihat kelebihan produk berkenaan bagi jalan raya di Sabah tidak lama lagi.

“Ketika ini, Sabah melalui pembangunan pesat dari sudut pembangunan prasarana, seperti projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sekarang ini dilaksanakan mengikut Rancangan Malaysia Kesebelas,” katanya semasa pelancaran produk itu di sini, hari ini .

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata bitumen bergred 60/70 adalah lebih baik dari segi kualiti dan kos, yang menjadikan jalan dan lebuh raya berkeadaan baik dan stabil.

“Ini tidak hanya bermanfaat dari segi pembangunan negeri, malah jalan yang baik juga boleh mengurangkan kemalangan dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa semua pihak yang melaksanakan pembinaan projek dan jalan raya kerajaan, dengan melibatkan bitumen sebagai komponen utama, supaya memahami gred bitumen 60/70.

Sementara itu, Pengurus Besar Teknologi Global Shell Bitumen, Prof John Read, berkata gred 60/70 memiliki daya tahan yang lebih kukuh ke atas suhu sekitar yang tinggi dan rintangan lebih baik terhadap perubahan bentuk jalan raya, berbanding gred 80/100 yang ketika ini digunakan di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA