Biuku ditemui dipukat nelayan

Biuku ditemui dipukat nelayan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 April – Sekumpulan pengunjung Pantai Belait yang terdiri daripada nelayan kecil-kecilan hari ini, dikejutkan dengan kemunculan seekor Biuku yang tersangkut di pukat mereka, yang pada mulanya disangkakan seekor ikan besar yang melanggar pukat mereka untuk mencari jalan keluar.

Salah seorang daripada mereka, Awang Irwan memberitahu Media Permata, pada mulanya mereka menyangka ia seekor ikan besar, tetapi apabila sampai di sisir pantai, mereka mendapati ia sebenarnya seekor Biuku.

Biuku merupakan sejenis tuntung besar yang biasanya hidup di sungai dan muara air tawar, tetapi juga diketahui sebagai spesies haiwan yang memasuki air masin dan bersarang bersama-sama penyu di pantai yang sama.

Ekoran ancaman pemburuan telur oleh manusia, bilangan Biuku telah semakin merosot dan kini ia dikelaskan sebagai haiwan terancam dalam senarai CITES.

Awang Irwan berkata, sebelum ini, mereka tidak pernah menjumpai haiwan tersebut dan menyangka kemungkinan haiwan tersebut hendak mendarat untuk bertelur tetapi terlanggar pukat mereka di tepi pantai.

Awang Irwan, bersama rakan-rakan dikejutkan dengan kemunculan seekor Biuku masuk ke dalam pukat ikan mereka di tepian pantai.
Awang Irwan, bersama rakan-rakan dikejutkan dengan kemunculan seekor Biuku masuk ke dalam pukat ikan mereka di tepian pantai.
Hilang rasa penat, kegembiraan jelas kelihatan di wajah para nelayan kecil-kecilan kerana berjaya mendapatkan ikan dengan menggunakan pukat kikis.
Hilang rasa penat, kegembiraan jelas kelihatan di wajah para nelayan kecil-kecilan kerana berjaya mendapatkan ikan dengan menggunakan pukat kikis.

Kemunculan Biuku itu juga telah menarik perhatian orang ramai yang berada di tepi pantai, yang turut menyangka ia adalah seekor Penyu.

“Kami tidak pernah terjumpa haiwan tersebut sebelum ini menyangkut di pukat, dan kami mengambil keputusan untuk melepaskannya semula ke laut,” kata Awang Irwan.

Dengan keadaan laut yang tenang sejak beberapa hari yang lalu, Pantai Belait menjadi tumpuan orang ramai dan penduduk di sini, terutamanya nelayan kecil-kecilan yang mula memasang pukat mereka untuk menangkap ikan.

Setelah keadaan kemarau dan lautan pula bergelora akibat musim tengkujuh yang berpanjangan, kini kegembiraan terlihat di wajah para penangkap ikan, di mana mereka meluangkan waktu untuk turun menangkap ikan seawal pukul 6 pagi lagi sehingga waktu petang.

Ramai dalam kalangan mereka yang turun ke pantai memberitahu Media Permata, sejak Isnin lalu, keadaan air yang tenang membolehkan mereka menangkap pelbagai jenis ikan, antaranya Kelapa-Kelapa, Jarang Gigi, Titir, Kuasi, Lamading, anak ikan Sanangin serta ikan Pusu, malah ada juga yang berjaya menangkap udang, ikan pari dan lainnya.

“Dalam keadaan air teduh, kebanyakan kami nelayan kecil-kecilan menggunakan Pukat Kikis untuk ikan Pusu, tetapi kadang-kadang, tersangkut juga pelbagai jenis ikan yang lain, seperti ikan Surui dan sebagainya,” kata Dayang Dora binti Dollah, 43, yang turun ke pantai sejak Isnin lalu.

Menurutnya, setakat ini beliau telah berjaya menangkap lebih 50 kilogram ikan, dan hasilnya itu dijual ke pasar Belait.

Bagaimanapun, katanya, kadang-kadang ada juga yang dijual kepada orang ramai yang berkunjung sendiri ke pantai tersebut semasa mereka menarik pukat dan memperolehi ikan-ikan yang masih segar.

Pantai Belait menjadi kunjungan ramai terutama penduduk di sini sejak kebelakangan ini, apabila ramai dalam kalangan nelayan kecil-kecilan turun untuk memasang pukat menangkap ikan.
Pantai Belait menjadi kunjungan ramai terutama penduduk di sini sejak kebelakangan ini, apabila ramai dalam kalangan nelayan kecil-kecilan turun untuk memasang pukat menangkap ikan.
Awang Yen Nyin Lock dan rakan-rakan dengan hasil tangkapan yang diperolehi.
Awang Yen Nyin Lock dan rakan-rakan dengan hasil tangkapan yang diperolehi.

Katanya lagi, ikan-ikan yang dijual memang harganya agak murah berbanding yang dijual di pasar.

Sementara itu, seorang lagi yang ditemui, Haji Mohd Ghani bin Osman, 74, berkata beliau turun ke tepi pantai bersama anak-anak buahnya, Awang Said bin Taib, 67 dan isteri, Dayang Suriati Abdullah, 59, sejak Isnin lalu dan mereka telah memperolehi tangkapan kira-kira 50 kilogram pelbagai jenis ikan dan lebih 20 kilogram daripadanya telah dijual.

Beberapa orang pengunjung yang ditemui pula berkata, dalam keghairahan para nelayan mencari rezeki, diharap mereka juga perlu menjaga keselamatan, seperti sentiasa mengawasi anak-anak kecil yang bermain di sisir pantai dan mengelakkan daripada keluar memukat pada waktu malam bersendirian atau hanya berdua, sebaiknya berkumpulan.

Menurut mereka, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan seperti tidak membiarkan ikan-ikan kecil ditinggalkan di pantai tanpa dibersihkan, kerana ia boleh mencemarkan keadaan persekitaran dengan bau yang busuk dan menjejaskan keindahan pantai.

Selain hanya turun ke pantai, terdapat juga nelayan yang menggunakan perahu untuk pergi ke lautan menangkap ikan, di mana dikatakan ketika ini merupakan musim yang sesuai untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak.

Yen Nyin Lock, 56, memberitahu, setelah beberapa bulan cuaca tidak mengizinkan selain keadaan laut yang bergelombang kira-kira enam bulan yang lalu, Ahad lalu beliau bersama tiga orang rakannya telah pergi menangkap ikan dan berjaya membawa pulang lebih 70 ekor ikan bersaiz besar dengan timbangan hampir 80 kilogram.

Menurutnya lagi, sejak bulan Oktober lalu, keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan untuk para nelayan pergi ke laut, bagaimanapun katanya, untuk keselamatan bersama, mereka sering berbekalkan perkakas dan peralatan perhubungan yang boleh membantu jika berlaku sebarang kemalangan semasa berada di tengah lautan.