Biwott, Keitany juara Maraton New York

Biwott, Keitany juara Maraton New York

NEW YORK, 2 Nov (AFP) – Stanley Biwott mencatatkan kemenangan terbesar sepanjang kariernya semalam dalam acara Maraton Baru New York, di mana rakan senegaranya Mary Keitany mencatatkan kejayaan kedua secara berturut-turut.

Biwott, 29, mengatasi jauh para pesaingnya dengan jarak lebih satu kilometer di Central Park sekali gus meraih kemenangan dengan catatan dua jam 10 minit dan 34 saat.

Peserta Kenya Geoffrey Kamworor menduduki tempat kedua manakala peserta Habsyah Lelisa Desisa mendapat tempat ketiga.

“Peringkat awal saya agak perlahan, tetapi apabila saya memutuskan untuk mula meningkatkan larian, saya tahu saya sungguh bersemangat dan yakin membuat penyudah yang mantap. Jadi saya berusaha sedaya upaya dan itulah keputusannya,” kata Biwott, yang menduduki tempat kedua dalam Maraton London 2014 dan sekadar tepat kelima dalam Maraton New York pada 2013.

Kamworor, juara merentas desa dunia dan pemenang pingat perak dunia dalam acara 10,000 meter, mencatatkan masa 2:10:48 sementara Desisa dengan catatan 2:12:10.

Stanley Biwott (kiri) dan Mary Keitany selepas muncul juara kategori masing-masing dalam Maraton Baru New York di New York pada 1 November 2015. – Agensi
Stanley Biwott (kiri) dan Mary Keitany selepas muncul juara kategori masing-masing dalam Maraton Baru New York di New York pada 1 November 2015. – Agensi

Juara bertahan Wilson Kipsang mendapat tempat keempat – satu lagi kekecewaan bagi bekas pemegang rekod dunia dalam musim yang menyaksikan dia ditewaskan ke tempat kedua di London dan terpaksa menarik diri di Kejohanan Dunia.

Secara perbandingannya, Keitany malah lebih mengagumkan dalam mempertahankan kejuaraannya. Beliau yang berusia 33 tahun mencatatkan masa 2:24:25 untuk menjadi wanita kelapan memenangi kejuaraan berganda New York dan yang pertama memenangi edisi secara berturut-turut sejak catatan oleh Paula Radcliffe dari Britain pada 2007 dan 2008.

Pelari Habsyah, Aselefech Mergia meraih tempat kedua dengan catatan masa 2:25:32 dan juga pelari Habsyah, Tigist Tufa – pemenang Maraton London pada April – menduduki tempat ketiga dengan masa 2:25:50.

Dalam empat acara sebelum ini di New York, Keitany sentiasa menaiki podium, apabila meraih tempat ketiga pada 2010 dan 2011.