BK anjur kempen derma darah

BK anjur kempen derma darah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Sept – Burger King (BK) Brunei, di bawah pengurusan Sinofood Express, secara inisiatif telah melibatkan diri untuk menganjurkan kempen derma darah yang pertama kali diadakan di cawangannya di Pekan Belait hari ini, dengan hasrat untuk sama-sama menyumbangkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukannya.

Kempen yang diadakan selama tiga jam itu, bermula pada jam 10 pagi hingga 1 petang, itu dikendalikan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), dan melibatkan seramai 10 orang kakitangan bahagian makmal diketuai oleh Pegawai Perubatan, Dr. Nang Nway.

Ia bukan sahaja melibatkan penyertaan dalam kalangan kakitangan Burger King, malahan turut dibukakan kepada penglibatan orang ramai, terutama sekali pengunjung-pengunjung restoran makanan segera itu.

Selain untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menderma darah bagi menyumbangkan bakti kepada masyarakat umum, kempen tersebut juga dihasratkan menyuntik semangat dalam kalangan kakitangan BK Brunei untuk sama-sama membantu menyelamatkan nyawa melalui sumbangan darah.

Bagi tahun ini, BK sudah pun dua kali menganjurkan kempen seumpamanya dengan yang pertama telah diadakan di Restoran BK cawangan Daerah Brunei dan Muara semasa bulan Ramadan, dan mereka merancang untuk mengadakan kempen ini tiga bulan sekali sepanjang tahun.

Sementara itu, wakil Pusat Pendermaan Darah RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud, semasa ditemui memberitahu bahawa sejak awal bulan Januari hingga penghujung bulan Ogos, mereka telah melaksanakan kempen derma darah hampir setiap hari melalui undangan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya lagi, mereka perlu mengumpul sekurang-kurangnya 50 pain darah setiap hari, dan kutipan jumlah darah melalui kempen yang diadakan turut bergantung lokasi dan musim.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai supaya tampil untuk sama-sama menyumbang, dan kepada pihak yang berhasrat untuk menganjurkan kempen derma darah bolehlah menghubungi talian 2242424 sambungan 5745 atau sambungkan kepada Pusat Pendermaan Darah RIPAS.

Beliau juga menjelaskan, kalangan belia-belia berusia 17 tahun ke atas dengan berat badan 45 kilogram ke atas yang dalam keadaan sihat dan dibenarkan menyumbang darah setelah pemeriksaan kesihatan dilakukan juga amat dialu-alukan untuk menderma darah.

ARTIKEL YANG SAMA