BK Brunei peduli pendapat pelanggan

BK Brunei peduli pendapat pelanggan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Jun – Sejak pembukaan cawangan terbaru di tengah-tengah Pekan Belait lewat bulan Januari lalu, Burger King (BK) Brunei mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada orang ramai berikutan pemasaran yang aktif dalam platform media sosial serta hubungan komunikasi yang erat di antara BK Brunei dan pelanggan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Pengurus Pemasaran, Awang Lim Kai Wei berkata mereka sentiasa mengambil perhatian terhadap pelanggan mereka, di antaranya dengan menyediakan kaji selidik prestasi BK melalui laman web sesawang mereka di Bru.tellburgerking.com untuk mengetahui segala maklum balas daripada orang ramai mengenai perkhidmatan mereka.

“Mana-mana pelanggan yang berbelanja di Burger King boleh menggunakan resit pembelian mereka yang mengandungi kod untuk melayari laman sesawang ini dan boleh mula memberikan pendapat mereka,” jelasnya.

Pelanggan yang mengisi jawapan di laman sesawang tersebut juga akan diberikan ganjaran minuman dan kentang goreng percuma.

“Setiap maklum balas yang kami perolehi adalah direkodkan untuk melihat prestasi kakitangan dan cawangan kami kerana kami amat memedulikan segala pendapat yang diberikan oleh pelanggan setia kami,” tambah beliau.

Kelihatan seorang pelanggan membeli hidangan di BK Cawangan Pekan Belait yang dibuka awal tahun ini.
Kelihatan seorang pelanggan membeli hidangan di BK Cawangan Pekan Belait yang dibuka awal tahun ini.

Menyentuh mengenai perkhidmatan sepanjang bulan Ramadan ini juga, beliau berkenaan operasi di seluruh cawangan bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Ditanya mengenai perkhidmatan penghantaran khususnya bagi Daerah Belait, beliau berkata orang ramai di daerah ini boleh menggunakan aplikasi FoodPanda bagi urusan penghantaran makanan tersebut.

Beliau sempat memberitahu bahawa tahap perkhidmatan penghantaran Burger King juga mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk di sini. Sementara itu, BK juga sudah memulakan promosi Ramadan mereka yang dipaparkan di laman sesawang rasmi BK Brujnei (www.facebook.com/bkbrunei).

Kini dengan adanya cawangan di Kuala Belait, Awang Lim berharap BK Brunei akan dapat menarik perhatian pelanggan luar negara khususnya dari Miri untuk menikmati hidangan BK yang ada di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA