BK sambut ulang tahun ke-2

BK sambut ulang tahun ke-2

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Burger King (BK) Brunei telah menyambut ulang tahunnya yang kedua dengan mengadakan majlis makan malam tahunan yang diadakan di Dewan Freshco, baru-baru ini, sebagai tanda kejayaan operasinya di negara ini.

BK kini mempunyai lima cawangan di negara ini, dengan cawangan pertamanya di Jalan Sultan, diikuti dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Citis Square, Kuala Belait dan yang terbaru di Seria.

Sementara itu, tidak lama lagi BK Brunei akan membuka cawangan keenamnya di Giant Rimba, dan merancang cawangan pandu lalu sebagai cawangannya yang ketujuh di Daerah Brunei dan Muara pada setengah tahun pertama 2016.

Burger King Brunei, di bawah pengurusan Sinofood Express, juga mengambil inisiatif untuk memperkenalkan program baru tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan meletakkan tabung derma di setiap cawangan.

Hasil daripada kutipan tabung tersebut dikumpulkan dan disumbangkan kepada tiga buah pertubuhan iaitu Pusat SMARTER, Pusat Ehsan dan YASKA yang telah disampaikan pada majlis sambutan berkenaan.

Burger King Brunei yang akan membuka cawangan keenam tidak lama lagi, telah menyambut ulang tahun yang kedua di Dewan Freshco.
Burger King Brunei yang akan membuka cawangan keenam tidak lama lagi, telah menyambut ulang tahun yang kedua di Dewan Freshco.

Untuk setiap $1 yang didermakan oleh para pelanggan Burger King, Sinofood Express juga telah mengambil inisiatif untuk sama-sama mendermakan kepada tabung tersebut dan telah berjaya mengumpulkan sebanyak $9,000. Oleh itu setiap pertubuhan menerima sumbangan berjumlah $3,000 masing-masing.

Cek sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah syarikat, Pengiran Hashim bin Pengiran Haji Jaya kepada Presiden SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman; Bendahari YASKA, Dayang Tsara’Nawwarah Abdullah Chen; dan Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

Pada majlis itu, para pekerja BK Brunei yang hadir telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan dan menyertai cabaran Burger King Whopper® terkenal untuk melihat siapa yang paling cepat menyediakan Burger King Flame-Grilled® Whopper®.

Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pengurus terbaik atas sumbangan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA