BKAF anjur Program Latihan

BKAF anjur Program Latihan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Dalam usaha meningkatkan lagi hubungan persahabatan dan interaksi yang lebih baik, Persatuan Persahabatan Brunei-Korea (BKAF) buat julung-julung kalinya mengadakan Program Latihan (Internship) bersama pihak-pihak berkepentingan bagi pelajar Korea ke Brunei.

Satu sidang media telah diadakan kelmarin di Hotel Parkview, Jerudong yang dipengerusikan oleh Presiden BKAF, Dr. Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib dan Pengarah Eksekutif Times Square Group of Companies yang mengendalikan enam buah hotel di Brunei, Awang Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.

Menurut Dr. Haji Kamaruddin, progam ini menampilkan seorang pelajar senior, mengambil kursus hospitaliti dan pelancongan di Sejong University, Korea, Sinil Lee, akan menjalankan program latihan tersebut selama sebulan.

Program ini jelasnya akan dapat meningkatkan kesedaran dalam persefahaman pertukaran sosial dan kebudayaan antara Brunei dan Korea serta membantu Sinil untuk memahami dengan lebih baik mengenai potensi pelancongan negara Brunei dan pembangunan pelancongan.

Awang Hambali (tengah), Dr. Haji Kamaruddin (dua kanan) dan Sinil Lee (kiri sekali) bergambar ramai selepas sidang media kelmarin.
Awang Hambali (tengah), Dr. Haji Kamaruddin (dua kanan) dan Sinil Lee (kiri sekali) bergambar ramai selepas sidang media kelmarin.

Pihak BKAF telah bekerjasama bersama Pengarah Eksekutif Times Square Group of Companies bagi membantu Sinil Lee mendapatkan pengalaman pekerjaan di Hotel Parkview, Jerudong dan juga di Jabatan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Menurut Awang Hambali, beliau dan pihak pengurusan telah mengadakan sebuah program khas bagi Sinil agar beliau dapat mengamalkan etika dan budaya kerja serta pembelajaran berstrategik dengan pengenalan kehidupan warisan Brunei dan persekitarannya sebagai tempat pilihan pelancongan.

Menurutnya lagi, Sinil akan diberikan sebuah projek sepanjang keberadaannya di negara ini untuk memasarkan Brunei sebagai pusat pelancongan sukan dan melalui projek ini juga beliau akan diberikan tugas untuk memasarkan industri golf di Brunei.

Sinil Lee merupakan seorang pelajar yang menyertai Program Pertukaran Pelajar di Universiti Brunei Darussalam pada tahun 2015 dan beliau telah menjadi ahli BKAF di Korea dan sangat aktif bergiat untuk memupuk kesedaran pada rakyat Korea untuk mengenalkan Brunei sebagai destinasi pelancongan.